JENAYAH & MAHKAMAH

Calon SPM Maut Dalam Perjalanan Ke Sekolah Di Kulai

10/09/2025 09:01 PM

JOHOR BAHRU, 10 Sept (Bernama) -- Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut ketika dalam perjalanan ke sekolah selepas terlibat dalam nahas membabitkan empat kenderaan di Kilometer 6 Jalan Kulai-Kota Tinggi, Kulai pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kulai ACP Tan Seng Lee berkata dalam kemalangan pada 7.15 pagi itu, pelajar lelaki berusia 17 tahun dan menunggang motosikal Yamaha Y15ZR terbabit maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian badan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal mangsa hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang motosikal Yamaha 135LC ditunggang seorang lelaki berusia 54 tahun. 

"Insiden itu menyebabkan kedua-dua motosikal hilang kawalan dan bergesel dengan kereta Perodua Axia yang dipandu seorang wanita berusia 20 tahun.

"Kemudian, kedua-dua motosikal terbabas ke lorong bertentangan sebelum dirempuh lori HICOM dipandu lelaki berusia 59 tahun yang tidak sempat mengelak," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata penunggang motosikal berusia 54 tahun itu turut mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dibawa ke Hospital Kulai untuk menerima rawatan lanjut. 

Tan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta orang ramai menyalurkan maklumat berhubung kejadian itu kepada Pegawai Penyiasat Insp Ahmad Safuan Abu Naim di talian 017-7573507 atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah kulai.

--BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan