AM

Terap Antibuli Dalam Program Sekolah Untuk Semai Empati - Joniston 

10/09/2025 05:52 PM

KIULU, 10 Sept (Bernama) -- Berikutan peningkatan kebimbangan berhubung isu buli di sekolah, penerapan unsur antibuli wajar dimasukkan dalam program sekolah bagi menyemai sifat empati, berbuat baik dan mewujudkan persekitaran interaksi sosial yang selamat dalam kalangan pelajar.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai berkata sekolah memainkan peranan penting dalam mendidik  pelajar mengenai kesan buruk perbuatan buli, sama ada secara luar talian atau dalam talian.

“Mungkin pihak sekolah boleh mempertimbangkan untuk mengadakan kempen antibuli bagi memupuk pelajar berbuat baik dalam persahabatan, menghindari perbuatan mengejek atau memulaukan rakan, serta membantu rakan yang memerlukan.

“Nilai murni itu sama penting dengan ilmu akademik kerana ia membentuk sahsiah dan kesejahteraan emosi anak-anak kita,” katanya dalam kenyataan selepas merasmikan Sabah Primary School Uniformed Bodies’ MADANI Unity Camping Programme 2025 di sini hari ini.

Joniston yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu turut mengingatkan mengenai risiko yang semakin meningkat dalam era digital, termasuk pendedahan kepada kandungan tidak sesuai, penipuan dalam talian dan buli siber.

Pada masa sama, beliau menggesa ibu bapa supaya sentiasa memantau penggunaan gajet dan membimbing anak-anak mereka untuk menggunakan Internet secara selamat dan bertanggungjawab. 

“Kini, memantau penggunaan gajet bukan lagi pilihan tetapi satu tanggungjawab, tanpa bimbingan kita berisiko menjerumuskan anak-anak kepada bahaya dunia dalam talian,” katanya sambil menegaskan bahawa intervensi awal kunci untuk melindungi mereka daripada pengaruh negatif.

Joniston berkata program seperti perkhemahan berkenaan dapat membantu murid mengasah kemahiran hidup yang diperlukan. 

Program disertai oleh pelajar, guru dan ibu bapa itu bertujuan menyemai disiplin, semangat berpasukan dan kemahiran kepimpinan selain memupuk perpaduan dalam kalangan peserta daripada latar belakang yang berbeza.

Beliau turut menggalakkan pelajar menghargai keindahan alam semula jadi serta kepelbagaian budaya di Sabah, mencetus inspirasi kepada mereka untuk menjadi duta kecil pelancongan negeri pada masa hadapan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan