PUTRAJAYA, 9 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa United Kingdom (UK) berhubung siasatan aset Tun Dr Mahathir Mohamad, keluarga dan individu berkaitan di luar negara.
Menurut sumber, SPRM sebelum ini telah beberapa kali mengadakan perjumpaan dengan International Anti-Corruption Coordination Centre (IACCC), Unit di bawah Agensi Jenayah Kebangsaan (NCA) yang berpusat di London berkaitan kes ini.
“SPRM sedang menunggu senarai aset rasmi daripada pihak berkuasa UK melibatkan negara Kanada, Switzerland, Jepun dan UK.
“Setelah maklumat lengkap diperolehi, SPRM akan memulakan proses perundangan bagi tindakan sitaan dan melucut hak aset yang dikenal pasti, sebagaimana yang telah dilakukan dalam kes melibatkan Tun Daim Zainuddin sebelum ini,” menurut sumber.
Malaysia, diterajui SPRM dan UK telah memeterai Perjanjian Bantuan Perundangan Bersama (MLA) melalui kerjasama dengan NCA United Kingdom pada Disember 2024.
Sementara itu, sumber turut menyatakan usaha mengesan dan memulangkan aset yang dipercayai diselewengkan bukanlah perkara mudah dan ia mengambil masa panjang.
“Ia memakan waktu yang lama kerana membabitkan instrumen perundangan antarabangsa serta kerjasama pelbagai pihak berkuasa luar negara.
"Namun siasatan akan diteruskan secara telus demi memastikan segala aset yang diperolehi secara haram dapat dipulangkan kepada negara," kata sumber.
Setakat ini, SPRM telah memanggil dua anak bekas Perdana Menteri itu untuk mengisytiharkan aset-aset yang dimiliki di dalam dan luar negara.
Ia selaras siasatan dilaksana menerusi siasatan di bawah Akta SPRM 2009 (Akta 694) serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Hari ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata siasatan terhadap Dr Mahathir masih berjalan dengan tumpuan kini diberikan kepada aset yang dipercayai dimiliki beliau di UK.
Sebelum ini, Azam pada April 2024 dilaporkan berkata bekas perdana menteri itu antara individu yang disiasat berhubung isu pengisytiharan harta.
Susulan penyiasatan itu, kedua-dua anak beliau diberi notis untuk mengisytiharkan harta dalam tempoh yang dinyatakan notis di bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2009.
Pada 21 Jan lepas, dilaporkan menurut pengisytiharan harta yang dikemukakan kepada SPRM, Tan Sri Mokhzani Mahathir memiliki aset bernilai kira-kira RM1 bilion, manakala Mirzan Mahathir sebanyak RM246.2 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial