KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Kawalan keselamatan di semua fasiliti gas asli cecair (LNG) milik Petronas diperketatkan serta-merta susulan ugutan diterima seorang pegawainya di Bintulu, Sarawak.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata pegawai terbabit menerima ugutan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) daripada individu tidak dikenali sebelum membuat laporan polis,
“Pihak polis termasuk pasukan di kontinjen seluruh negara turut membantu meningkatkan keselamatan di semua fasiliti LNG Petronas bagi memastikan keselamatan fasiliti berkenaan berada dalam kawalan,” katanya ketika Program Derma Darah sempena Peringatan Hari Polis ke-218 di sini hari ini.
Media semalam melaporkan kerajaan mengarahkan semua fasiliti LNG di Bintulu mengetatkan kawalan keselamatan serta-merta susulan ancaman yang diterima.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam kenyataannya memaklumkan langkah itu bagi membolehkan siasatan segera dilakukan terhadap ancaman berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Mohd Khalid memaklumkan PDRM masih menunggu laporan penuh bedah siasat kedua terhadap pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Syamsul Haris Shamsudin yang dijalankan pada 30 Ogos lepas.
“PDRM percaya bahawa pihak hospital yang membuat bedah siasat itu mempunyai kredibiliti tinggi bagi menjalankan siasatan berkenaan dan menyeru semua rakyat Malaysia menerima keputusannya kelak,” katanya.
Terdahulu, Mohd Khalid menyampaikan sijil penghargaan kepada tiga anggota PDRM yang aktif menderma darah.
Sebanyak 257 warga PDRM turut menyertai kempen derma darah pada program berkenaan sebagai sokongan kepada usaha Kementerian Kesihatan (KKM) dalam memastikan bekalan darah negara sentiasa mencukupi.
“Inisiatif ini bertepatan dengan sambutan Hari Kebangsaan kerana menonjolkan semangat kebersamaan keharmonian dan perpaduan yang menjadi teras kepada pembentukan negara yang aman sejahtera,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial