SUKAN

Harimau Malaya Kekal Rekod Tanpa Bolos, menang 1-0 Ke Atas Palestin

09/09/2025 08:59 AM

ISKANDAR PUTERI, 9 Sept (Bernama) -- Ketua jurulatih Harimau Malaya Peter Cklamovski berbangga dengan kejayaan menumpaskan Palestin 1-0 pada aksi persahabatan Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Jurulatih dari Australia itu berkata barisan pemain menunjukkan disiplin, mentaliti kental serta komitmen jitu biarpun berdepan jadual singkat sepanjang perlawanan antarabangsa itu.

“Separuh masa pertama sangat baik … . Dalam 20 minit terakhir, pemain mampu bertahan. Saya  berbangga kerana menang tanpa bolos. Saya yakin dengan semua pemain Malaysia.

“Kami menewaskan Palestin, satu pasukan yang baik, layak ke Piala Asia dan berada dalam kelompok 100 terbaik dunia. Kredit kepada semua pemain,” katanya pada sidang media di sini malam tadi.

Beliau berkata Harimau Malaya menumpukan kepada kekuatan berpasukan dan bukannya individu, dua kemenangan berturut-turut menentang Singapura dan Palestin suatu yang positif.

“Gol cantik pada peringkat awal permainan hasil daripada latihan dan perancangan yang disusun. Ia perlawanan yang kami jangkakan. Pujian wajar diberikan kepada pemain dan saya gembira dengan mereka semua,” katanya.

Beliau berkata tumpuan Harimau Malaya kini beralih kepada persiapan kelayakan Piala Asia AFC dan pemain perlu konsisten menjelang Oktober.

Gol tunggal pada perlawanan itu dijaringkan oleh penyerang Joao Figueiredo seawal minit ketiga, selepas memanfaatkan hantaran lintang Quentin Cheng dari sebelah kanan padang.

Sementara itu, ketua jurulatih Palestin Ehab Abu Jazar mengakui ketiadaan beberapa pemain utama antara faktor kekalahan pasukannya. 

Beliau mengucapkan tahniah kepada Malaysia atas kemenangan itu serta memuji perkembangan positif yang dipamerkan skuad negara.

“Sudah tentu ia memberi kesan kepada kami. Tetapi pada masa sama, ia peluang untuk melihat pemain baharu serta mereka yang tidak diturunkan pada perlawanan sebelum ini.

“Tahniah kepada Malaysia. Kami tahu ia bukan perlawanan yang mudah kerana Malaysia pasukan yang sedang meningkat dan semakian kuat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan