KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh tidak langsung Lianson Fleet Group Bhd (LFG), iaitu Icon Samudera (L) Inc, akan melupuskan sebuah kapal kepada Asia Investment and Asset Management Joint Stock Company, Vietnam pada harga RM28.13 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, LFG berkata kapal Icon Samudera ialah kapal bekalan tunda pengendalian sauh (AHTS) DP-1 seberat 1,374 tan yang dibina pada 2013 dan berupaya menarik tonggak statik sebanyak 60.4 tan.
Katanya, pelupusan kapal tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan bagi memodenkan armada LFG dan menggantikan armadanya selaras dengan permintaan pasaran industri minyak dan gas yang semakin berkembang.
“Ia juga sejajar dengan penjenamaan semula dan strategi jangka panjang LFG untuk mempelbagaikan operasi daripada menjadi pemain dalam penyediaan kapal sokongan luar pesisir kepada menyediakan aset kelas kapal lain, sekali gus menyokong usaha menuju pasaran baharu dan mengukuhkan pertumbuhan jangka panjang dan fleksibiliti operasi kami,” katanya.
LFG berkata hasil bersih daripada pelupusan kapal tersebut akan digunakan untuk tujuan korporat am dan untuk menyokong pertumbuhan masa depan dan inisiatif strategik LFG.
“Tertakluk kepada keadaan yang tidak dijangka, pelupusan ini dijangka siap menjelang akhir Oktober 2025,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial