DUNIA

Kerajaan Korea Selatan Suntik Tambahan US$5 Bilion Rangsang Pelaburan Institusi Awam

08/09/2025 05:08 PM

SEJONG (Korea Selatan), 8 Sept (Bernama-Yonhap) -- Menteri Kewangan Korea Selatan Koo Yun-cheol pada Isnin berkata kerajaan merancang untuk menyuntik tambahan 7 trilion won (US$5.03 bilion) menjelang akhir tahun ini bagi merangsang pelaburan daripada institusi awam, sebagai sebahagian usaha untuk mencergaskan semula ekonomi di tengah-tengah kelembapan yang berpanjangan.

Agensi Berita Yonhap melaporkan Koo berkata demikian pada sidang media rasmi pertamanya sejak memegang jawatan, di mana beliau menggariskan keutamaan kementerian dalam pengurusan makroekonomi.

"Kerajaan merancang untuk melaksanakan perbelanjaan bajet tambahan sebanyak 7.0 trilion won melalui institusi awam menjelang akhir tahun," kata Koo.

Koo berkata kementerian akan memberi penekanan dasar kepada tiga bidang -- bertindak balas terhadap kitaran ekonomi, menggiatkan semula kehidupan rakyat dan menstabilkan harga pengguna.

Beliau secara khusus menekankan usaha untuk mengawal inflasi bagi kos sara hidup asas, termasuk harga makanan, menjelang cuti panjang perayaan Chuseok pada awal bulan depan.

Menteri itu berkata pelan sokongan percutian komprehensif akan diumumkan tidak lama lagi bagi memastikan kestabilan harga dan melindungi golongan rentan.

Harga pengguna, penunjuk utama inflasi, meningkat 1.7 peratus tahun ke tahun pada Ogos, peningkatan paling perlahan dalam tempoh sembilan bulan, menurut Statistik Korea.

Agensi itu, bagaimanapun, menyatakan bahawa penurunan itu mungkin bersifat sementara. Pejabat statistik sebelum ini berkata kadar inflasi akan mencecah 2.3 peratus pada Ogos, menandakan pertumbuhan harga terpantas sejak Julai 2024, jika tidak berlaku penurunan mendadak dalam yuran telefon bimbit.

Sidang media Koo itu diadakan sehari selepas kerajaan mengumumkan pelan penstrukturan semula besar-besaran yang akan melucutkan kuasa perancangan bajet Kementerian Ekonomi dan Kewangan. Sebuah agensi fiskal baharu di bawah pejabat perdana menteri akan ditubuhkan untuk mengambil alih peranan berkenaan.

Mengenai perbincangan yang sedang berlangsung dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung isu kadar pertukaran, Koo berkata satu pengumuman akan dibuat serentak dengan hasil rundingan berasingan berkaitan tarif.

"Rundingan peringkat kerja dengan Jabatan Perbendaharaan AS mengenai kadar pertukaran sedang dijalankan," katanya.

Menteri itu juga mengulas spekulasi baru-baru ini mengenai kemungkinan pindaan kepada kod cukai berkaitan hartanah, dengan menyatakan sebarang perubahan mesti dipertimbangkan dengan teliti dengan mengambil kira trend pasaran perumahan.

Pada Ahad, kerajaan telah mengumumkan pelan perumahan utama yang bertujuan untuk menstabilkan pasaran hartanah. Di bawah pelan itu, 270,000 unit rumah baharu akan dibina setiap tahun di kawasan metropolitan Seoul dari 2026 hingga 2030, berjumlah 1.35 juta rumah baharu.

"Apabila menyentuh soal bekalan perumahan, kelajuan adalah kunci utama," tambahnya.

-- BERNAMA-YONHAP



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan