KUANTAN, 8 Sept (Bernama) -- Istana Pahang hari ini menafikan dakwaan bahawa Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pernah menawarkan sebarang bentuk bantuan kepada orang ramai melalui platform TikTok.
Istana Pahang memaklumkan penafian itu dibuat berikutan satu akaun TikTok dikesan menggunakan nama 'Datuk Muhammad Yusuf', didapati giat memperdaya masyarakat dengan memanipulasi wajah Tunku Azizah menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Istana Pahang menegaskan bahawa perbuatan tersebut adalah cubaan penipuan yang tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan imej institusi diraja.
“Sehubungan itu, orang ramai diminta agar lebih berhati-hati, bijak menilai kesahihan sesuatu maklumat serta tidak mudah terpedaya dengan tawaran palsu yang disebarkan di media sosial,” menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Kesultanan Pahang.
Orang ramai juga dinasihatkan segera membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya dihubungi atau menerima sebarang mesej yang mencurigakan atas nama Tengku Ampuan Pahang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial