AM

Pengamal Media Dinasihat Lebih Berhati-hati, Elak Wujud Stereotaip Dalam Laporan

06/09/2025 09:28 PM

KULAI, 6 Sept (Bernama) -- Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching menasihati pengamal media supaya lebih berhati-hati dalam menulis laporan dan mengelakkan penggunaan ayat atau tajuk yang boleh mewujudkan stereotaip terhadap seseorang.

Beliau berkata pengamal media memainkan peranan yang besar dalam membentuk persepsi masyarakat sekali gus membantu memecahkan sesuatu stereotaip.

“Saya rasa hari ini stereotaip merupakan isu yang besar bukan sahaja bagaimana kita memanggil seseorang tetapi juga (melibatkan pekerjaan) seperti jururawat iaitu hanya wanita yang sesuai atau wanita tidak boleh jadi jurutera, itu tidak betul.

“Ini semua adalah sebahagian daripada stereotyping yang perlu kita pecahkan supaya kita mendidik generasi muda…,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan cek cura di Surau Nurul Haq Kampung Sungai Sayong 1 di sini hari ini.

Teo berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tajuk laporan berita sebuah akhbar dalam talian berkaitan seorang pemain badminton negara.

Semalam, menerusi hantaran di Facebook Teo turut berkongsi tangkap layar tajuk berita itu dan berpesan kepada atlet terbabit supaya tidak terkesan.

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Kulai itu berkata sebanyak 58,659 hantaran di media sosial yang berunsurkan penipuan telah diturunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) pada tahun ini setakat 31 Ogos lepas.

Beliau berkata angka itu diperoleh menerusi data yang dikongsikan daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Kementerian Kesihatan.

“Setiap hantaran yang (berunsur) penipuan (yang diterima), kita minta platform berkaitan bertindak secepat mungkin,” katanya.

Justeru itu, Teo menasihati orang ramai supaya membuat laporan kepada agensi berkaitan sekiranya menjadi mangsa penipuan bagi memastikan tindakan lanjut dapat diambil dengan segera.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan