MELAKA, 6 Sept (Bernama) -- Sebanyak 569 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-19 dan Mesyuarat Berkaitan yang berlangsung di sini pada 8 hingga 12 Sept ini.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata pihaknya sentiasa berada dalam keadaan siap siaga bagi melaksanakan penugasan pegawai serta anggota, selain memastikan keselamatan delegasi dan orang awam terjamin sepanjang mesyuarat berkenaan berlangsung.
"Pengguna jalan raya juga tidak perlu bimbang kerana tiada jalan utama ditutup kecuali ketika laluan digunakan oleh tetamu kenamaan sepanjang mesyuarat berlangsung selama lima hari itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan majlis pembukaan mesyuarat berkenaan pada Selasa.
Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
AMMTC ke-19 diadakan sempena Kepengerusian ASEAN 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” yang mencerminkan komitmen rantau ini untuk membentuk masa depan saksama dan berdaya tahan, sejajar dengan trend global semasa serta aspirasi rakyatnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial