SHAH ALAM, 4 Sept (Bernama) -- Semua Ketua Delegasi Teknikal (KDT) dan Pengurus Pertandingan Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-22 hari ini menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bagi menjamin temasya sukan dwitahunan kebangsaan pada tahun hadapan itu bebas daripada rasuah dan salah guna kuasa.
Majlis penandatanganan yang diadakan di sebuah hotel di sini disaksikan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur Mohamad Zakkuan Talib.
Turut hadir Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Mohd Nasir Ali, Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA Selangor 2026 Datuk Mohd Yazid Sairi dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin.
Jefri ketika ditemui selepas majlis itu berkata IDR menjadi simbol perjanjian dan komitmen semua KDT dan Pengurus Pertandingan untuk melaksanakan tugas dengan telus dan berintegriti.
"IBR juga menandakan aku janji semua yang terlibat bahawa mereka bebas daripada rasuah, yang akan memastikan SUKMA 2026 berjalan secara profesional dan berlandaskan tatakelola serta tadbir urus yang baik," katanya.
SUKMA Selangor 2026 dijadual diadakan pada 15 hingga 24 Ogos, manakala Para SUKMA dari 5 hingga 14 Sept, dengan upacara pembukaan temasya akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial