KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Kredit Pengguna (RUUKP) 2025 setelah lapan Ahli Dewan Negara mengambil bahagian membahaskan RUU berkenaan.
RUUKP dibentang bagi bacaan kali kedua dan ketiga oleh Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.
Lim berkata RUUKP akan menyediakan asas untuk rangka kerja pengawalseliaan terhadap pelakuan industri kredit dan perlindungan pengguna kredit yang lebih mapan melalui penubuhan Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP).
Jelas beliau, mana-mana entiti yang ingin menjalankan aktiviti syarikat ‘Beli Sekarang Bayar Kemudian’ (BNPL) termasuk entiti antarabangsa yang ingin beroperasi di Malaysia, perlu dilesenkan oleh SKP.
"Syarikat BNPL juga perlu membuat penyerahan laporan berkala kepada SKP dan entiti tanpa lesen akan tertakluk kepada tindakan penguatkuasaan oleh SKP," katanya ketika menggulung perbahasan RUUKP.
Beliau berkata melalui RUUKP, SKP akan mewajibkan syarikat BNPL untuk menjalankan penilaian kelayakan kredit dan kemampuan berhutang (Credit Worthiness and Affordability Assessment) sebelum menawarkan sebarang pinjaman BNPL.
Ini termasuk mengambil kira jumlah pendapatan dan komitmen perbelanjaan pengguna kredit bagi memastikan mereka mampu membayar balik wang yang dipinjam tanpa mengalami bebanan kewangan yang serius.
Selain itu, RUUKP juga membolehkan SKP mengawal selia pemberi kredit yang lain serta pemberi perkhidmatan kredit yang kini tidak dikawal selia untuk meningkatkan tahap profesionalisme peserta industri dan mewujudkan persekitaran kredit yang selamat.
"Sebagai contoh, dalam mengesan salah laku berkaitan dengan pengiklanan yang juga dibangkitkan dan terma-terma perjanjian pinjaman, SKP boleh menggunakan kaedah seperti analisis aduan melalui sistem aduan SKP, tinjauan rahsia dan penuaian data web," kata Lim.
Berhubung tindakan penguatkuasaan, SKP di bawah RUUKP boleh mengenakan teguran serta penalti monetari yang tidak melebihi RM500,000 untuk setiap ketidakpatuhan dan arahan langkah pembetulan (corrective measures).
SKP juga boleh menggantung atau membatalkan lesen pemberi kredit atau pendaftaran pemberi perkhidmatan kredit, tambah beliau.
Dalam pada itu juga, Lim berkata SKP diberi kuasa untuk mengeluarkan standard dan garis panduan untuk memperincikan tahap perlindungan data yang wajib dipatuhi oleh peserta industri.
Ia juga boleh mengambil tindakan penguatkuasaan atas sebarang ketidakpatuhan standard berkenaan pengendalian data pengguna kredit.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial