AM

SPRM Kongsi Pengalaman Bangunkan Sistem Dengan NFCC

04/09/2025 04:04 PM

PUTRAJAYA, 4 Sept (Bernama) — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah antara agensi terawal yang memberikan maklumbalas kepada Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dalam usaha kerajaan untuk memusatkan pengurusan, pelucuthakan termasuk informasi berkaitan harta sitaan dan lucut hak di peringkat nasional.

 

Pengarah Bahagian Pengurusan Rekod dan Maklumat (BPRM) SPRM, Norkhafizin Isa berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pengarah NFCC, Datuk Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil dalam lawatan ke Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada 19 Ogos lalu.

 

Beliau berkata, lawatan itu adalah susulan daripada keputusan Jemaah Menteri pada 19 Mei 2025 yang menetapkan NFCC sebagai agensi pusat pengurusan harta disita dan dilucut hak oleh semua agensi penguatkuasaan di Malaysia.

 

Katanya, tujuan lawatan NFCC ialah untuk mengenalpasti dan memahami prosedur sitaan, penyimpanan serta pelucuthakan harta sitaan melalui sistem dalaman digunapakai SPRM selain mendapatkan input dalam proses membangunkan sistem dalaman NFCC yang boleh diselaraskan dengan agensi-agensi yang menguruskan harta sitaan terutamanya SPRM.

 

“Pihak NFCC berterima kasih atas pembentangan, maklumbalas dan kerjasama diberikan oleh SPRM dalam usaha pihak NFCC membangunkan sistem bagi pengurusan harta disita dan dilucuthakan.

 

“Kami akan terus memberikan bantuan serta sokongan kepada NFCC berhubung perkara ini,” katanya.

 

Dalam sesi tersebut, Ketua Cawangan Aplikasi Rekod (CARe) BPRM, Khairul Ridzuan Ikhsan telah memberikan taklimat berkaitan modul pengurusan harta sitaan melalui sistem teras SPRM iaitu sistem Corruption Reporting Information System (CRIS) dan Exhibits Management System (EMS). 

 

Wakil Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM turut hadir memberikan penerangan berkaitan proses sitaan dan pelucuthakan kepada delegasi NFCC. 

— BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan