AM

TMM2026: Malaysia Sasar Kehadiran 22 Juta Pelancong Singapura - Azfar

04/09/2025 02:21 PM

JOHOR BAHRU, 4 Sept (Bernama) -- Malaysia menyasarkan kehadiran 22 juta pelancong dari Singapura sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), sekali gus dijangka merancakkan lagi ekonomi pelancongan negara susulan republik itu kekal sebagai antara pasaran utama pelancong asing.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar berkata setakat ini hampir 12 juta rakyat Singapura telah melancong ke Malaysia pada tahun ini dan angka itu dijangka terus meningkat menjelang 2026.

“Seperti yang kita tahu, pelancong Singapura ini adalah kumpulan terbesar. Untuk TMM2026 ini, kita sasar 22 juta rakyat Singapura datang ke Malaysia untuk aktiviti pelancongan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata kepada Bernama selepas majlis penyerahan van jenazah antara Muslim Care Malaysia dan 1 Third Media Movement di Masjid Al-Jawahir di sini hari ini.

Azfar berkata kedekatan geografi serta kos sara hidup tinggi di Singapura menjadikan Johor khususnya terus menjadi destinasi pilihan utama rakyat republik itu bagi tujuan pelancongan dan membeli-belah.

Beliau berkata laporan antarabangsa baru-baru ini turut menyenaraikan Singapura sebagai bandar keempat termahal di dunia, justeru ramai dalam kalangan rakyatnya yang berpendapatan sederhana menjadikan Malaysia terutama Johor sebagai lokasi membeli-belah serta mendapatkan barangan keperluan harian.

“Bukan semua rakyat Singapura golongan berada, ada juga sederhana. Jadi saya pasti mereka akan terus datang ke Johor untuk membeli-belah, beli barangan dapur dan sebagainya,” katanya.

Azfar berkata keadaan itu bakal memberi limpahan ekonomi positif kepada Malaysia, namun pada masa sama kerajaan perlu memastikan kebajikan rakyat khususnya di Johor tidak terbeban dengan kuasa beli tinggi warga Singapura.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan