AM

MARDI Aktif Bangun SOP Kawalan Keladi Agas

03/09/2025 06:09 PM

KEPALA BATAS, 3 Sept (Bernama) -- Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) aktif membangunkan prosedur operasi standard (SOP) kawalan keladi agas yang merangkumi prinsip pengurusan rumpai bersepadu sejak 2022.

Pegawai Penyelidik MARDI Dr M. Dilipkumar dalam kenyataan hari ini, berkata penggunaan SOP itu mampu membantu mengurangkan infestasi keladi agas pada kadar 70 hingga 100 peratus di sawah.

“Keladi agas merupakan rumpai daun lebar yang cepat membiak melalui biji benih serta stolon dan banyak dijumpai di sawah bertakung, kolam, tali air serta kawasan cetek berair.

“Infestasi keladi agas walaupun pada ketumpatan rendah boleh memberi impak besar kepada ekonomi pesawah. Sebagai contoh, kehilangan hasil padi sebanyak lima peratus pada hanya empat pokok setiap satu meter persegi sudah melebihi kos kawalan racun rumpai,” katanya.

Dilipkumar berkata pada ketumpatan 24 pokok setiap meter persegi, keladi agas boleh mengurangkan hasil padi sehingga 45 peratus, menjadikan kawalan awal dan penggunaan SOP oleh MARDI sangat penting untuk mengelakkan kerugian hasil yang serius.

Sebelum ini, media melaporkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu meminta MARDI menjalankan kajian lanjut dalam mencari pendekatan terbaik bagi mengawal keladi agas, sekali gus tidak menjejaskan hasil padi negara.

Dalam menyahut saranan itu, Dilipkumar berkata MARDI akan meneruskan kajian keladi agas melalui projek Pembangunan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk membangunkan SOP pengurusan keladi agas side specific di kawasan tanaman yang rintang terhadap segelintir racun rumpai.

“MARDI juga mengharapkan kerjasama dengan agensi pengembangan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk menyebarkan SOP pengurusan keladi agas kepada pesawah dan memantau bersama di lapangan,” katanya.

Beliau berkata SOP diperkenalkan MARDI bermula dari proses penyediaan tanah dengan menggunakan sistem stale seedbed iaitu membiarkan keladi agas tumbuh terlebih dahulu sebelum dimatikan dengan racun rumpai pra-tanam seperti glyphosate atau glufosinate atau tiafenacil.

“Kemudian diikuti dengan pembajakan tanah yang mampu memusnahkan anak benih keladi agas dengan berkesan. SOP itu juga menekankan kepentingan membadai tanah sama rata serta mengekalkan paras air sawah melebihi lima sentimeter (cm) ketika peringkat awal pertumbuhan padi untuk mengurangkan percambahan keladi agas,” katanya.

Dari aspek kawalan kimia, beliau berkata racun rumpai pra-cambah seperti pretilachlor boleh digunakan sejurus selepas menyemai bagi menghalang percambahan awal keladi agas, selain beberapa racun lain berkesan jika disembur pada peringkat awal ketika tumbuhan itu mempunyai antara tiga hingga lima helai daun.

Selain itu, pesawah perlu mengetahui rekod racun rumpai yang kurang berkesan atau telah menunjukkan kerintangan terhadap keladi agas di sawah mereka dan membuat pemilihan racun daripada kumpulan bahan aktif berbeza supaya kawalan rumpai dapat dilakukan lebih berkesan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan