DUNIA

Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi Susulan Jangkaan Eksport Mengukuh

02/09/2025 11:35 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives pulih untuk ditutup lebih tinggi pada Selasa, dipacu oleh jangkaan eksport yang lebih kukuh dan pertumbuhan pengeluaran yang lebih perlahan.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata sentimen pasaran disokong oleh unjuran pengeluaran yang lembap sekali gus memberikan sokongan kepada komoditi berkenaan.

“Kami melihat paras sokongan pada RM4,400 satu tan dan paras rintangan pada RM4,580 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Firma pemeriksa kargo, Intertek Testing Services menganggarkan eksport minyak sawit Malaysia bagi Ogos sebanyak 1.42 juta tan, meningkat 10.22 peratus berbanding Julai.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta September 2025 naik RM75 kepada RM4,383 satu tan manakala kontrak Oktober 2025 menokok RM91 kepada RM4,438 satu tan dan kontrak November 2025 melonjak RM96 kepada RM4,476 satu tan.

Kontrak Disember 2025 berkembang sebanyak RM91 kepada RM4,499 satu tan, Januari 2026 bertambah RM84 kepada RM4,509 satu tan dan Februari 2026 pula meningkat RM80 kepada RM4,497 satu tan.

Jumlah dagangan susut kepada 59,839 lot berbanding 77,969 lot pada Jumaat manakala kepentingan terbuka naik kepada 254,494 kontrak daripada 253,380 kontrak.

Harga fizikal MSM untuk September Selatan menokok RM50 kepada RM4,420 satu tan.

Pasaran ditutup semalam bagi menggantikan cuti umum Hari Kebangsaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan