EKONOMI

Insentif Cukai Untuk Galak Majikan Ambil Warga Emas Bekerja

02/09/2025 05:48 PM

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Kerajaan melihat penglibatan warga emas dalam pasaran pekerjaan bukan sahaja penting dari sudut sosial tetapi turut memberi nilai tambah kepada ekonomi negara.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, usaha menggalakkan pengambilan warga emas untuk bekerja dilaksanakan menerusi insentif cukai kepada majikan yang menggajikan pekerja berusia 60 tahun ke atas.

Insentif berkenaan yang berkuat kuasa sejak 2019 dan dilanjutkan hingga tahun taksiran 2025 bertujuan memastikan golongan berkenaan mempunyai sumber pendapatan tetap.

"Pembayar cukai warga emas juga boleh menuntut pelbagai jenis pelepasan cukai pendapatan individu yang meliputi keseluruhan spektrum kehidupan seperti pelepasan diri dan jagaan tanggungan, pelepasan ke atas perbelanjaan berkaitan kesihatan dan rawatan perubatan, persaraan, insurans serta gaya hidup termasuk aktiviti sukan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi Kementerian Kewangan di Dewan Negara hari ini.

Menurut beliau, kerajaan turut membangunkan rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan 2025-2045 yang merangkumi aspek pekerjaan, pendidikan, kesihatan dan perlindungan sosial, sekali gus mempersiapkan Malaysia menghadapi status negara tua.

Amir Hamzah juga mendedahkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan sebanyak 42 peratus warga emas di negara ini hidup dalam keadaan kemiskinan relatif.

Statistik ini, jelasnya mencerminkan keperluan mendesak untuk memperkukuh struktur akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) agar lebih mampan dan responsif terhadap cabaran penuaan penduduk sekali gus memastikan simpanan persaraan yang lebih mencukupi dan berdaya tahan untuk tempoh jangka panjang.

Dalam hal berkaitan, mengenai keperluan pilihan kepada pencarum bagi pembayaran pencen secara bulanan melalui KWSP, Amir Hamzah berkata cadangan berstruktur baharu akan diwujudkan apabila ahli mencapai umur persaraan minimum.

Jelasnya, simpanan ahli akan terbahagi kepada dua komponen utama iaitu simpanan fleksibel yang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan ahli dan simpanan pendapatan yang diagihkan secara berkala atau bulanan sehingga habis.

Pengenalan kepada mekanisme baharu ini, katanya tidak akan menjejaskan hak pengeluaran ahli sedia ada kerana ia hanya terpakai kepada ahli baharu yang mendaftar selepas tarikh pelaksanaannya.

Namun begitu, ahli sedia ada boleh memilih untuk beralih kepada struktur baharu ini secara sukarela.

"Bagaimanapun, cadangan ini sedang diteliti dan sebarang keputusan hanya akan dibuat selepas sesi libat urus yang menyeluruh dengan pihak berkepentingan dan pertimbangan sewajarnya terhadap kepentingan jangka panjang ahli," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan