HULU SELANGOR, 2 Sept (Bernama) -- Sebanyak empat program diploma kepolisan ditawarkan khusus untuk anggota di pusat-pusat latihan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
Beliau berkata program berkenaan merangkumi Pengurusan Kepolisan, Siasatan Kepolisan, Keselamatan Dalam Negeri dan Perisikan Keselamatan diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
“Evolusi ancaman keselamatan yang semakin kompleks dan peningkatan harapan masyarakat terhadap penyampaian perkhidmatan terbaik daripada PDRM, menuntut inisiatif pemerkasaan sumber manusia yang lebih berkualiti bagi memartabatkan keselamatan negara dan ketenteraman awam.
“Pembangunan program ini selari dengan Pelan Strategik PDRM (PSPDRM) 2021-2025 ke arah memperkasakan tahap profesionalisme dan pemberdayaan organisasi melalui pendidikan serta latihan berterusan bagi melahirkan pegawai yang kompeten dan berwibawa ke arah penambahbaikan institusi serta meningkatkan imej dan tahap kepercayaan masyarakat terhadap PDRM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Program Diploma Kepolisan (MQA) dan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan PDRM di Maktab PDRM Kuala Kubu Bahru di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay serta pucuk pimpinan tertinggi PDRM.
Mohd Khalid berkata PDRM turut membangunkan Program Kemahiran Pengurusan Operasi Bahagian (Kepolisan) Tahap 4 dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia Pengurusan Operasi Daerah (Kepolisan) Tahap 5, sejajar dengan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan.
“Usaha ini untuk mentransformasi warga Sang Saka Biru agar lebih kompeten dan cemerlang dan ia turut diterjemahkan menerusi Kursus Asas Peralihan Detektif mengikut Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan Detektif Tahap II.
“Ia melibatkan Detektif Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial,” katanya.
Beliau berkata kesemua program berkenaan mampu melahirkan pegawai serta anggota yang berilmu, berkemahiran tinggi dan berdaya saing dalam usaha memartabatkan PDRM sebagai agensi kepolisan bertaraf dunia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial