DUNIA

Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari

02/09/2025 02:04 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia rendah pada tengah hari ini dalam dagangan yang kurang menggalakkan walaupun kebanyakan pasaran serantau mencatatkan prestasi positif.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 3.21 mata kepada 1,571.91 daripada 1,575.12 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Indeks petunjuk pasaran, yang dibuka tinggi 1.74 mata kepada 1,576.86 bergerak antara 1,561.36 dan 1,576.91 sepanjang sesi dagangan pagi.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 724 berbanding 271 manakala 413 kaunter tidak berubah, 1,131 tidak diniagakan dan 7 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.88 bilion unit bernilai RM1.40 bilion.

Pada masa ini, Indeks Nikkei 225 Jepun naik 0.31 peratus kepada 42,320.61, Indeks Komposit IDX Indonesia meningkat 1.16 peratus kepada 7,824.58, Indeks Kospi Korea Selatan menambah 0.94 peratus kepada 3,172.27 dan Indeks Straits Times Singapura menokok 0.43 peratus kepada 4,294.57.

Sementara itu, Indeks Hang Seng Hong Kong merosot 0.61 peratus kepada 25,460.16 dan Indeks Komposit SSE China berkurangan 0.79 peratus kepada 3,844.84.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI gagal mengekalkan momentum meningkatnya berikutan wujud tekanan jualan menjelang cuti hujung minggu yang panjang.

Oleh itu, indeks merosot di bawah paras 1,580.

“Bagaimanapun, kami percaya indeks pasaran kembali meningkat dengan segera berikutan kami menjangka sentimen pasaran secara keseluruhannya kekal kukuh. Hari ini, kami menjangka indeks berada dalam julat 1,575 hingga 1,590,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 16 sen kepada RM10.06, Public Bank dan IHH Healthcare, masing-masing meningkat satu sen kepada RM4.28 dan RM6.80, CIMB Group merosot 19 sen kepada RM7.24 dan Tenaga Nasional mendatar pada RM13.20.

Bagi kaunter diniagakan secara aktif, Ekovest merosot 2.5 sen kepada 35 sen, Tanco Holdings berkurangan satu sen kepada 69.5 sen dan PUC susut setengah sen kepada 20 sen manakala NexG dan TWL, masing-masing menambah setengah sen kepada 49.5 sen dan 3.0 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 38.65 mata kepada 11,664.23, Indeks FBMT 100 merosot 36.45 mata kepada 11,438.12 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 50.10 mata kepada 11,598.98.

Indeks FBM Mid 70 berkurangan 110.24 mata kepada 16,366.0 dan Indeks FBM ACE merosot 45.08 mata kepada 4,676.94.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 18.36 mata kepada 18,129.38 manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 1.34 mata kepada 160.88, Indeks Perladangan merosot 18.14 mata kepada 7,576.31 dan Indeks Tenaga susut 5.82 mata kepada 734.40.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan