PUTRAJAYA, 2 Sept (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menumpukan usaha mempertingkatkan prasarana pendidikan awal kanak-kanak serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam Belanjawan 2026.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata prasarana Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Pra-Tahfiz serta untuk kanak-kanak autisme disasarkan untuk ditingkatkan menerusi Belanjawan 2026.
“Apa yang kita tumpukan pada tahun lepas (meliputi pembangunan desa) akan diteruskan namun ada beberapa kawasan fokus yang harus kita lihat, satunya ialah menyebarluaskan Tabika Kemas Pra-Tahfiz.
“Kini terdapat 10,883 Tabika Kemas Pra-Tahfiz yang kita telah mulakan juzuk 30 untuk anak-anak kita yang berumur tiga hingga enam tahun. Sebanyak 125,000 murid telah menyertainya, insya-Allah kita akan menyasarkan penambahan menjadikan 140,000 murid pada tahun hadapan,” katanya.
Ditemui pemberita selepas perhimpunan bulanan KKDW di sini hari ini, beliau berkata tenaga pengajar Kemas juga akan dihantar menjalani latihan bagi memperkasa pedagogi atau pengajaran mereka.
“Kita akan melakukan beberapa transformasi. Kita telah mulakan tahun ini dengan tiga tabika autisme di Melaka dan tahun hadapan kita akan wujudkan satu negeri satu tabika austime manakala pada 2027, kita akan wujudkan satu tabika autism bagi satu daerah.
“TVET akan kita lebih perkukuhkan terutama TVET di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan agensi di bawah KKDW,” katanya menambah, sesi dialog dengan pihak berkepentingan diadakan bagi memantapkan input Belajawan 2026.
Terdahulu, Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata Transformasi Desa melalui 42 inisiatif “Game Changer” yang digerakkan KKDW mencatatkan pencapaian mencecah 64 peratus setakat ini.
“Dari Desa Kirana yang membuka desa kepada dunia pelancongan ke Tabika Tunas Istimewa yang memberi peluang kepada anak-anak autisme, hingga ke “Smart Classroom” yang membuktikan anak desa juga mampu menjejak arus digital.
“Semuanya adalah titik penting dalam peta jalan perubahan yang lebih luas,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial