DUNIA

Bursa Malaysia Dibuka Rendah

02/09/2025 10:36 AM

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia memulakan minggu ini dengan mencatatkan paras rendah, dengan dagangan yang kurang menggalakkan selepas cuti hujung minggu yang panjang.

Bursa ditutup semalam sempena cuti gantian Hari Kebangsaan manakala Wall Street turut ditutup semalam sempena Hari Pekerja.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 3.24 mata kepada 1,571.88 selepas  ditutup pada 1,575.12 pada Jumaat lepas.

Bagaimanapun, indeks dibuka tinggi 1.74 mata kepada 1,576.86.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 235 berbanding 164 manakala 322 kaunter tidak berubah, 1,818 tidak diniagakan dan 7 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 163.65 juta saham bernilai RM135.91 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikan hari ini, bursa tempatan rendah, seiring dengan niaga hadapan indeks Amerika Syarikat (AS) yang negatif.

“Niaga hadapan indeks AS kini diniagakan negatif berikutan pelabur menilai ketidaktentuan dasar perdagangan selepas Mahkamah Rayuan Persekutuan memutuskan sebahagian besar tarif Trump sebagai tidak sah dan Trump akan membuat rayuan kepada Mahkamah Agung,” katanya.

Katanya walaupun keputusan akhir terhadap tarif berpotensi memberi impak positif kepada pasaran, sentimen dalam masa terdekat masih terjejas disebabkan kemungkinan rundingan semula dan prestasi pasaran yang cenderung mencatatkan lemah berikutan September lazimnya kurang menggalakkan bagi pasaran ekuiti AS.

Pada peringkat tempatan, Malacca Securities berkata kesan limpahan positif dijangka dapat dilihat terhadap 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd berikutan lebih RM50 juta dibelanjakan pada hari pertama pengagihan tunai RM100 di bawah program SARA.

“Baru-baru ini, Gamuda Bhd meraih kontrak bernilai RM2.1 bilion untuk membina pusat data berskala besar di Eco Business Park V, Selangor. Ini dijangka memberi impak positif kepada sektor berkaitan pusat data, termasuk syarikat pembinaan dan pemaju hartanah yang terlibat dalam taman teknologi perindustrian.

“Peniaga turut memantau NEXG Bhd berikutan ia meraih kontrak selama enam tahun bernilai RM1.7 bilion untuk membekalkan pasport Malaysia dan kini menunggu untuk menguji semula paras halangan tertinggi dalam tempoh 52 minggu,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah tujuh sen kepada RM9.97, IHH Healthcare dan Press Metal Aluminium, masing-masing meningkat tiga sen kepada RM6.82 dan RM5.59 manakala Public Bank berkurangan satu sen kepada RM4.26 dan CIMB Group merosot 22 sen kepada RM7.21.

Bagi saham diniagakan secara aktif, NEXG naik setengah sen kepada 49.5 sen, Genetec Technology meningkat satu sen kepada 52 sen manakala TA Win Holdings dan Mestron Holdings, masing-masing mendatar pada 1.5 sen dan 23 sen serta Ekovest merosot 1.5 sen kepada 36 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 27.35 mata kepada 11,675.54, Indeks FBMT 100 berkurangan 27.43 mata kepada 11,447.14 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 7.50 mata kepada 11,641.58. Indeks FBM 70 berkurangan 56.35 mata kepada 16,419.88 dan Indeks FBM ACE merosot 13.15 mata kepada 4,708.87.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 75.75 mata kepada 18,035.27, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 0.29 mata kepada 161.93, Indeks Perladangan susut 13.37 mata kepada 7,581.08 dan Indeks Tenaga merosot 0.62 mata kepada 739.60.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan