SUKAN

Tang Jie–Ee Wei Julang Emas Dunia, Hadiah Merdeka Buat Malaysia

31/08/2025 09:06 PM

KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) -- Saat jutaan rakyat mengibarkan Jalur Gemilang sempena ulang tahun kemerdekaan ke-68, arena sukan tanah air turut diraikan dengan hadiah bersejarah apabila beregu campuran negara, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei, muncul juara Kejohanan Dunia di bumi Perancis, malam ini.

Pada aksi final yang berlangsung di Adidas Arena, Paris, gandingan keempat dunia itu tanpa gentar berdepan gergasi China dengan semangat juang membara, penuh berani dan bijak membaca permainan untuk menundukkan pilihan kedua Jiang Zhen Bang–Wei Ya Xin 21-15 pada set pertama.

Pada set kedua, mereka terus mengekang kebangkitan pasangan China apabila seakan “menggila” di gelanggang dengan menoktahkan kemenangan 21-14, sekali gus menghadiahkan emas pertama Malaysia dalam acara beregu campuran dalam tempoh 40 minit penuh mendebarkan.

Bagaikan mendapat kekuatan daripada laungan “Merdeka!”, Tang Jie–Ee Wei tidak sedikit pun goyah meskipun rekod lalu memihak kepada lawan beregu kedua dunia itu dengan kelebihan 3-1 termasuk kekalahan perit pada Terbuka Jepun bulan lepas.

Kejayaan itu menoktahkan penantian hampir dua dekad selepas pencapaian terbaik negara dalam acara beregu campuran hanyalah di separuh akhir menerusi Koo Kien Keat – Wong Pei Tty pada edisi 2006 di Madrid, Sepanyol.

Sementara itu, menerusi rakaman audio BWF, Ee Wei berkata ‘dahaga’ mereka terhadap kemenangan hadir daripada besarnya makna kejohanan tersebut.

“Ini kejohanan dunia. Kalau menang, anda bergelar juara dunia. Jadi ketika beraksi di pusingan 16 terbaik, kami berdepan tekanan besar. Namun selepas itu kami berjaya mengatasinya dan hari ini kami hanya mengikut pelan permainan.

“Ia sangat bermakna untuk kami, lebih-lebih lagi kerana berlangsung pada Hari Kebangsaan Malaysia. Selain itu, stadium juga dipenuhi penyokong tanah air. Kami rasa bertenaga di gelanggang dan terus berjuang untuk setiap mata,” katanya.

Ee Wei turut mengakui sebelum ini mereka mudah kecewa apabila melakukan kesilapan, namun telah membuat perubahan dalam pendekatan.

“Selepas melakukan kesilapan, kami segera kembali fokus kepada apa yang perlu dibuat dan kembali mengikuti pelan permainan. Jurulatih juga sentiasa mengingatkan kami supaya menarik nafas dalam-dalam untuk mendapatkan fikiran yang lebih tenang ketika di gelanggang,” ujarnya.

Sementara itu, Tang Jie berkata tiada kata-kata mampu menggambarkan perasaannya selain gembira kerana kini mereka boleh digelar juara dunia.

“Saya rasa persiapan mental kami sangat jelas dan tekad. Kami tidak memikirkan soal kalah atau menang sebelum perlawanan, sebaliknya hanya fokus kepada aksi dan menikmati setiap detik,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan