KOTA BHARU, 28 Ogos (Bernama) -- Laluan FT185 Seksyen 78.600 LHS Jalan Lojing-Gua Musang ditutup selorong susulan insiden lubang benam berhampiran Kampung Jekjok, di sini 7 Ogos lepas.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Gua Musang menerusi hantaran di Facebook memaklumkan kejadian pada 8.30 pagi itu menyebabkan mendapan berukuran 15 meter panjang, enam meter lebar dan berkedalaman 3.1 meter.
“Berikutan kejadian itu, laluan ke arah Gua Musang ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan manakala hanya satu lorong masih dibuka untuk arah bertentangan.
“Lubang benam disyaki terbentuk kerana terdapat aliran air pada bahagian tepi pembetung dan keluasan mendapan didapati semakin membesar,” menurut hantaran itu hari ini.
JKR Gua Musang memaklumkan pelan pengurusan trafik telah dilakukan di lokasi bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
“Kerja-kerja pengawasan dan pemantauan sedang dijalankan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Roadcare (M) Sdn Bhd, Polis Diraja Malaysia, Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang serta Majlis Daerah Gua Musang,” menurut hantaran itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata pengguna jalan raya dinasihatkan agar lebih berwaspada ketika melalui lokasi kejadian di Kilometer 78, Jalan Gua Musang-Lojing.
“Setakat ini tiada kemalangan dilaporkan, cuma pengguna perlu memperlahankan kenderaan ketika melalui laluan berkenaan terutama pada waktu malam,” katanya kepada Bernama hari ini.
Tinjauan Bernama mendapati beberapa papan tanda amaran dan kon keselamatan diletakkan di sekitar lokasi mendapan oleh pihak berwajib sebagai peringatan kepada pengguna.
Bagaimanapun, pengguna perlu kekal berwaspada ketika melalui laluan itu terutama pada sebelah malam dan ketika hujan lebat kerana tiada lampu jalan di lokasi itu, selain ia terletak di kawasan berbukit dan dikelilingi hutan tebal yang menyaksikan kabus sering berlaku dan mengehadkan penglihatan.
Selain itu, turut terdapat mendapan kecil di kawasan terlibat yang berpotensi membesar sekiranya tidak dibaiki segera dengan beberapa kejadian lubang benam telah dilaporkan berlaku di laluan berkenaan sejak tahun lepas.
Kejadian pertama berlaku pada 23 Nov 2024 apabila lubang benam sedalam enam meter terbentuk di Kilometer 78, sehingga menyebabkan laluan dari arah Lojing ditutup satu lorong.
Pada 12 Dis 2024, lubang benam kedua dengan kedalaman sembilan meter dilaporkan di lokasi sama, hanya lima meter dari lubang pertama.
Lubang benam ketiga pula berlaku pada 15 Mac lepas di lokasi yang sama, menyebabkan laluan terpaksa ditutup sekali lagi sebelum dibuka semula pada 27 Mac untuk semua kenderaan ringan sempena sambutan Aidilfitri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial