KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Rang Undang-undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 akan membawa Malaysia lebih dekat dengan piawaian antarabangsa dalam perolehan awam termasuk prinsip ketelusan, persaingan terbuka, layanan adil dan integriti sebagaimana digariskan dalam UNCITRAL Model Law on Public Procurement 2011.
Ahli Parlimen Bakri Tan Hong Pin (PH-Bakri) berkata RUU itu menetapkan bahawa kaedah utama perolehan kerajaan mestilah melalui persaingan terbuka dan adil sebagaimana terkandung dalam Seksyen 28, sekali gus membawa Malaysia lebih hampir kepada standard global.
“Rakyat Malaysia masih ingat projek-projek kontroversi dianugerahkan secara rundingan terus tanpa proses terbuka.
“Laporan Ketua Audit Negara saban tahun juga mendedahkan projek sakit seperti sekolah, hospital dan jalan raya lewat siap akibat kontraktor tidak berkelayakan, dokumen palsu, campur tangan politik serta budaya ‘Ali Baba’ yang menjejaskan mutu kerja,” katanya ketika membahaskan RUU itu untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.
Tan berkata RUU tersebut turut memperkenalkan mekanisme kawalan baharu termasuk kewajipan tender terbuka, penubuhan Tribunal Rayuan Perolehan serta peruntukan hukuman lebih berat.
Antaranya, denda sekurang-kurangnya tiga kali ganda nilai kontrak atau tidak kurang daripada RM1 juta dan penjara sehingga lima tahun bagi kesalahan menipu atau memalsukan dokumen.
“Penalti pentadbiran turut diperkenalkan termasuk denda harian sehingga RM500 bagi pelanggaran berterusan… Mesej ini jelas bahawa sistem perolehan kerajaan bukan lagi ruang untuk dimanipulasi sebaliknya proses berintegriti membawa risiko tinggi kepada mereka yang cuba menyalahgunakannya,” katanya.
Menurut Tan, RUU itu juga membawa elemen baharu selaras dengan amalan terbaik antarabangsa, antaranya menggalakkan penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), penggunaan produk tempatan serta pelaksanaan perolehan hijau, selain membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam menegakkan prinsip integriti sejak mengambil alih pentadbiran pada 2022.
Dalam pada itu, terdapat juga cadangan daripada ahli Parlimen supaya projek kerjasama awam-swasta (PPP) turut dimasukkan dalam RUU itu.
Ahli Parlimen Yeo Bee Yin (PH-Puchong) meminta penjelasan kerajaan berhubung isu Projek Lebuhraya MEX 2 yang tertangguh selama enam tahun walaupun berjaya mengumpul RM1.3 bilion melalui bon.
"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini telah menyiasat dakwaan tuntutan palsu berjumlah RM416 juta dengan beberapa individu ditahan.
“Dilaporkan juga bahawa sebanyak RM560 juta diperlukan untuk menyiapkan hanya 11 peratus daripada projek ini,” katanya.
Sementara itu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) dalam perbahasannya meminta RUU itu dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi Parlimen untuk perbincangan lanjut serta sesi libat urus.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan RUU berkenaan bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat.
RUU tersebut bertujuan memperuntukkan kewajipan, tanggungjawab, tadbir urus dan ketelusan dalam perolehan kerajaan, termasuk penubuhan Tribunal Rayuan Perolehan Kerajaan serta peruntukan lain yang berkaitan.
Persidangan bersambung esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial