KUANTAN, 27 Ogos (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan semua masjid dan surau di seluruh negeri Pahang mengadakan solat hajat serta doa menolak bala malam esok.
Kesultanan Pahang menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan titah tersebut dizahirkan Al-Sultan Abdullah berikutan beberapa siri bencana gempa bumi di negara ini sekali gus menzahirkan rasa prihatin dan kebersamaan baginda terhadap kesejahteraan rakyat serta keselamatan negeri.
“Baginda bertitah agar umat Islam di Pahang sentiasa memperkukuh doa, meningkatkan amal ibadah serta bersatu hati memohon perlindungan Allah SWT daripada sebarang musibah.
“Baginda turut meminta rakyat bersama-sama berdoa agar Allah SWT melindungi negeri ini daripada segala bencana serta mengekalkan kesejahteraan, keamanan dan kemakmuran untuk seluruh rakyat,” menurut hantaran itu.
Bernama melaporkan gempa bumi lemah berukuran 3.2 magnitud berlaku pada 8.59 pagi tadi di Segamat, Johor, dengan gegaran dilaporkan dirasai di beberapa kawasan di negeri ini serta selatan Pahang.
Pada 24 Ogos lepas, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan gempa bumi lemah berlaku di Segamat pada 6.13 pagi dengan kekuatan magnitud 4.1, disusuli gegaran kedua pada 9 pagi di Yong Peng, 28 kilometer (km) Barat Laut Kluang dengan magnitud 2.8 pada kedalaman 10 km.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial