KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Kementerian Komunikasi melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS ) mempelawa syarikat penerbitan tempatan memohon Dana Supertelefilem Bintang Veteran (STAR).
FINAS menerusi kenyataan memaklumkan STAR diwujudkan dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan stesen penyiar swasta bagi memperkasa kandungan kreatif tempatan.
Dana berkenaan merupakan inisiatif strategik untuk meningkatkan kadar penontonan di stesen penyiar serta merangsang pertumbuhan ekonomi industri kandungan kreatif melalui kolaborasi bersama penyiar tempatan.
Menurut FINAS Dana STAR dibuka khusus bagi penerbitan supertelefilem berkualiti tinggi dengan syarat sekurang-kurangnya 60 peratus tenaga kerja penerbitan terdiri daripada artis veteran.
“Inisiatif ini bertujuan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan artis veteran sekali gus memastikan kelangsungan kerjaya mereka dalam industri,” menurut kenyataan itu.
Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui laman sesawang www.finas.gov.my atau portal Sistem Pengurusan dan Pemantauan Industri Kreatif Negara di http://sppik.finas.my, tertakluk kepada Garis Panduan dan Peraturan Dana Kandungan Kreatif (DKK) yang sedang berkuat kuasa.
Tempoh permohonan dibuka mulai esok hingga 7 Sept ini dan sebarang pertanyaan boleh dikemukakan kepada Bahagian Pengurusan Produksi FINAS melalui e-mel infodkd@finas.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial