PUTRAJAYA, 27 Ogos (Bernama) -- Malaysia dan Brunei hari ini menegaskan semula komitmen untuk memuktamadkan kerja-kerja penandaan dan tinjauan sempadan di Sektor F-G menjelang Mei 2027, yang akan dilaksanakan sepenuhnya berdasarkan prinsip garisan punca air.
Komitmen itu dinyatakan menerusi kenyataan bersama selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah mengadakan perbincangan sempena Rundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei (ALC) ke-26, hari ini.
Menurut kenyataan itu, Anwar dan Sultan Hassanal Bolkiah turut mengulangi komitmen terhadap Perjanjian Pertukaran Surat (EOL) 2009, Memorandum Persefahaman mengenai Proses Demarkasi dan Ukur Sempadan Darat yang ditandatangani pada Mac 2012 serta Terma Rujukan yang dilampirkan bersama.
“Semua instrumen mengikat ini secara jelas menetapkan bahawa sebarang sempadan darat yang belum ditentukan atau belum didemarkasi antara kedua-dua negara akan diselesaikan berasaskan lima Perjanjian Sempadan Darat sedia ada.
“Bagi kawasan yang belum mempunyai perjanjian, kedua-dua negara akan berunding berasaskan sepenuhnya prinsip punca air,” menurut kenyataan itu.
Kedua-dua pemimpin turut mengingat kembali Pertukaran Nota Diplomatik (EON) 2024 mengenai kemajuan bersama di Sektor F-G, yang ditandatangani pada ALC ke-25 pada 26 Ogos 2024 di Bandar Seri Begawan.
Kedua-dua pemimpin juga mengambil maklum hasil Mesyuarat Khas Jawatankuasa Bersama Sempadan Darat Brunei-Malaysia mengenai Sektor F-G pada 8 Mei 2025, serta perbincangan semasa Mesyuarat Ke-4 Jawatankuasa Bersama Sempadan Darat pada 14 Julai 2025 di Bandar Seri Begawan.
Sehubungan itu, mereka menegaskan semula komitmen bersama untuk menentukan punca air tunggal dan menyiapkan demarkasi serta pengukuran sektor berkenaan selewat-lewatnya 31 Mei 2027, selaras dengan EON 2024.
Sebelum ini, kedua-dua pemimpin menyatakan kepuasan terhadap komitmen dan kerja keras Jawatankuasa Teknikal Bersama bagi Demarkasi dan Ukur Sempadan Darat, yang berjaya mencatat kemajuan signifikan sejak 2012, dengan 214.638 kilometer atau 41 peratus sempadan darat telah pun ditandakan dan diukur.
"Mengambil kira keperluan mengekalkan momentum, serta kerja-kerja yang dijadualkan siap di Sektor E-F menjelang 2025, Sektor A-B pada 2026 dan Sektor F-G pada 2027, kedua-dua pemimpin bersetuju secara prinsip agar fasa kedua MoU mengenai Demarkasi dan Ukur Sempadan Darat dipertimbangkan, bagi mencapai 66 peratus sempadan darat menjelang 2028,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, kedua-dua pemimpin menyaksikan pertukaran MoU kerjasama kesihatan antara Menteri Kesihatan Malaysia Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan rakan sejawatnya dari Brunei Datuk Seri Dr Mohammad Isham Jaafar di Kompleks Seri Perdana.
Sultan Hassanal Bolkiah tiba di Malaysia pada Isnin bagi melakukan Lawatan Negara selama tiga hari atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. Baginda diiringi Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah, selain menteri-menteri Kabinet dan pegawai kanan kerajaan Brunei.
Pada Selasa, baginda diberi sambutan Negara di Istana Negara, diikuti dengan menghadap Yang di-Pertuan Agong serta menghadiri santapan negara yang dianjurkan Sultan Ibrahim.
Brunei merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia dalam ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM7.53 bilion (USD1.77 bilion), pada 2024.
Bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, jumlah dagangan Malaysia-Brunei mencecah USD690 juta (RM3.02 bilion), meliputi eksport USD500 juta (RM2.18 bilion) dan import USD190 juta (RM840 juta).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial