Oleh Noor Bakthtiar Ahmad
KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Senegal menyeru Malaysia memperkukuh peranannya sebagai rakan strategik di Afrika Barat, khususnya dalam industri halal, ekonomi digital dan infrastruktur, sambil meletakkan Dakar sebagai pintu masuk Malaysia ke benua itu.
Duta Senegal ke Malaysia, Abdoulaye Barro berkata negaranya bersedia memanfaatkan kedudukan sebagai hab dalam Kesatuan Afrika dan Komuniti Ekonomi Negara-Negara Afrika Barat (ECOWAS), sebuah pasaran bersama dengan hampir 500 juta penduduk.
“Senegal adalah bahagian paling barat di Afrika. Ia hanya enam jam ke New York, lima jam ke Paris, sembilan jam ke Timur Tengah dan juga sembilan jam ke Afrika Selatan. Kami adalah sebahagian daripada ECOWAS dengan 500 juta penduduk dan Kesatuan Afrika dengan 1.4 bilion penduduk. Jadi Senegal adalah pintu masuk, dan kami mahu rakyat Malaysia memanfaatkan kedudukan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Bernama TV, The Nation: Diplomatic Dispatch bertajuk “Bridging Continents: Malaysia & Senegal” yang disiarkan pada Selasa.
Barro menegaskan bahawa Senegal, dengan 95 peratus penduduknya beragama Islam, berhasrat untuk muncul sebagai sebuah hab halal bagi Afrika Barat dan sub-Sahara.
Beliau berkata Malaysia dilihat sebagai rakan yang cocok dalam sektor itu kerana reputasi globalnya dalam pensijilan dan perdagangan halal.
“Kami mengenal pasti Malaysia sebagai rakan utama dalam sektor ini. Dengan MIHAS (Pameran Halal Antarabangsa Malaysia) sebagai pameran halal pertama dunia, kami mahu bekerjasama dengan Malaysia dan menjadikan Senegal sebagai sebuah hab industri halal di rantau kami,” katanya.
Mengenai perdagangan, Barro berkata eksport Malaysia ke Senegal pada 2024 berjumlah RM1.35 bilion, didominasi minyak sawit, mikropemproses dan kosmetik, manakala eksport Senegal ke Malaysia bernilai RM14.1 juta, kebanyakannya makanan laut dan kacang tanah.
“Apabila melihat imbangan perdagangan antara kedua-dua negara, ia sememangnya memihak kepada Malaysia. Tetapi masih ada ruang untuk kemajuan bagi kedua-dua pihak. Kami mahu menambah jumlah pertukaran serta mempelbagaikan produk, termasuk fesyen dan perniagaan berasaskan pertanian,” katanya.
Beliau menekankan bahawa Senegal sedang melaksanakan Agenda Transformasi Nasional Senegal 2050, yang memberi tumpuan kepada infrastruktur, pertanian, pelancongan dan kesihatan, serta menggesa pelabur Malaysia untuk mengambil bahagian.
“Kami mempunyai sebuah negara yang perlu dibangunkan. Malaysia mempunyai tempat dalam pengembaraan baharu ini,” kata Barro.
Beliau berkata kerajaan akan mengetengahkan visi pembangunan itu pada Forum Pelaburan Senegal dari 7 hingga 8 Okt 2025 di Dakar, diikuti Pameran Antarabangsa Dakar pada Disember.
Duta itu turut menekankan peluang yang semakin berkembang dalam ekonomi digital, merujuk kepada inisiatif “Digital Deal” Senegal yang mengalu-alukan pelaburan dalam teknologi maklumat, ekonomi siber dan logistik.
“Digital Deal adalah pintu terbuka kepada semua rakan untuk datang dan melabur dalam lebuh raya digital. Kami mempunyai wawasan besar dalam ekonomi digital, dan Malaysia adalah antara rakan yang kami ingin bekerjasama,” katanya.
Mengenai hubungan rakyat dengan rakyat, Barro berkata Senegal menghargai peluasan pertukaran akademik dengan hampir 100 pelajar Senegal kini menuntut di Malaysia. Kerjasama dalam sains tropika dan pertanian sedang dijalankan, di samping usaha mengatasi halangan bahasa.
Beliau turut menarik perhatian kepada peluang dalam sukan dan budaya, termasuk gusti tradisional Senegal dan silat Malaysia sebagai bidang kerjasama, selain muzik serta seni.
“Kami cinta Malaysia. Kami tahu jalan pembangunan yang telah diikuti Malaysia.
Kini kami mahu rakyat Malaysia juga meneroka Senegal, sebuah tanah yang aman, demokratik, telus dan penuh hospitaliti. Datanglah untuk pelaburan, pelancongan dan apa sahaja. Kami mengalu-alukan anda dengan tangan terbuka,” kata Barro.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial