AM

Projek ETS3 Ke Johor Bahru Dijangka Beroperasi Dis 2025 - Loke

26/08/2025 01:59 PM

PUTRAJAYA, 26 Ogos (Bernama) -- Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS3) bagi laluan selatan ke Johor Bahru dijangka mula beroperasi Disember tahun ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata projek berkenaan kini berada di fasa akhir dengan infrastruktur landasan ke Johor Bahru telah siap sepenuhnya. 

“Sekarang tinggal kerja-kerja sistem semboyan sahaja, dari segi infrastruktur fizikal telah pun siap,” katanya dalam sidang media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Pengangkutan (MOT) di sini hari ini.

Sebelum ini, Loke berkata projek ETS3 ke Johor Bahru berjalan mengikut perancangan dan tidak mengalami sebarang kelewatan seperti yang didakwa sesetengah pihak. 

Perkhidmatan ETS3 merangkumi operasi ke Segamat (fasa pertama), manakala fasa kedua ke Kluang yang akan mula beroperasi pada 30 Ogos ini sebelum diikuti fasa ketiga ke Johor Bahru Sentral. 

Pada Sabtu lepas, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat merasmikan ETS3 KTMB bagi laluan selatan di Stesen Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata operasi Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang menghubungkan Shah Alam, Selangor dengan kawasan sekitarnya dijangka bermula sebelum hujung tahun ini. 

“Pada awalnya kita menjangkakan (LRT3) dapat dimulakan pada penghujung suku ketiga tetapi ada beberapa ujian yang masih perlu dilakukan, maka ada sedikit kelewatan.

“Namun begitu, kita memberikan komitmen bahawa laluan awal LRT3 dari Klang ke Petaling Jaya akan dimulakan sebelum penghujung tahun ini juga,” katanya.

Sementara itu, Loke berkata MOT akan memantau perkembangan setiap projek pembangunan bagi memastikan ia siap mengikut jadual yang ditetapkan.

“Kita akan terus memberikan fokus untuk melaksanakan tanggungjawab kita untuk memastikan mobiliti rakyat terus dapat dipertingkatkan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan