KANGAR, 25 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 207 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Perlis di sini terpaksa mengikut sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) buat sementara waktu berikutan sebahagian bumbung sekolah itu rosak diterbangkan angin dalam kejadian ribut petang tadi.
Pengarah Pendidikan Perlis Rose Aza Che Arifin berkata kejadian pada 5.20 petang itu menjejaskan kelas Tahun Satu melibatkan dua kelas dengan 70 murid; Tahun Dua (dua kelas, 74 murid); Prasekolah (satu kelas, 25 murid) dan lima kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dengan 38 murid.
“JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) telah memaklumkan kepada penjaga murid dan semua langkah segera sedang diambil supaya kerja baik pulih dapat dijalankan secepat mungkin. Kami juga telah memohon bantuan dana daripada Kementerian Pendidikan (KPM),” katanya kepada pemberita hari ini.
Rose Aza berkata pihak sekolah turut diminta memastikan pembelajaran murid terus dipantau dari semasa ke semasa sepanjang tempoh PdPR itu berlangsung agar mereka tidak ketinggalan.
Dalam pada itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menerusi hantaran di Facebook malam ini memaklumkan beliau meminta JPN Perlis untuk menyediakan laporan penuh kerosakan dan peruntukan bencana akan disalurkan supaya kerja baik pulih dapat dilaksanakan segera.
“Syukur tiada murid, guru dan warga sekolah yang terjejas dalam kejadian ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop mengesahkan kejadian tersebut dan turut memaklumkan sebuah kereta rosak ditimpa bahagian bumbung sekolah yang diterbangkan angin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial