KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Kerajaan kekal dengan perancangan melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 dan perincian lanjutnya dijangka diumumkan menjelang akhir September 2025.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata langkah itu perlu berikutan dasar subsidi pukal yang diamalkan sejak sekian lama hanya membebankan fiskal negara dan tidak memberi manfaat kepada majoriti rakyat.
“Maka sebab itu atas semangat sama, penyasaran subsidi petrol RON95 sepertimana (juga) subsidi elektrik dan diesel, tidak menjejaskan rakyat terbanyak,” katanya pada sesi Kamar Khas Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang meminta penjelasan mengenai indikator dan asas penentuan digunakan kerajaan untuk menyenaraikan individu atau isi rumah dalam kategori T15 (isi rumah dengan 15 peratus teratas dari segi pendapatan bulanan) serta bentuk notifikasi, saluran pengesahan dan sistem rayuan yang akan diwujudkan bagi melindungi hak rakyat dalam pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95.
Menjelaskan selanjutnya, Amir Hamzah berkata kerajaan juga kini di fasa akhir memperhalusi kriteria kelayakan dan kaedah pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 bersama dengan semua pihak berkepentingan.
Antara mekanisme yang dipertimbangkan termasuk penggunaan MyKad, e-dompet dan aplikasi syarikat minyak bagi memastikan pelaksanaan secara efisien tanpa merumitkan rakyat.
“Mekanisme MyKad adalah dengan memasukkan kad itu dalam terminal pembaca MyKad disediakan kerajaan dan disambungkan dengan Pangkalan Data Berpusat Kerajaan bagi menentukan kelayakan dan kuota.
“Kaedah MyKad juga sedang digunakan untuk penyaluran bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan setiap penerima yang layak akan didaftar secara automatik dan menerima bantuan barangan keperluan asas,” katanya.
Amir Hamzah juga menegaskan pelaksanaan inisiatif itu dirangka dengan penuh teliti agar rakyat tidak merasakan perbezaan ketara dalam pengalaman mereka, sama ada ketika membuat pembayaran secara tunai, menggunakan kad atau integrasi MyKad.
Sejak 9 Jun 2024, kerajaan telah melaksanakan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung melalui program BUDI MADANI dengan harga pam dua peringkat tanpa subsidi bagi pengguna tidak layak dan bersubsidi bagi kenderaan komersial serta individu yang layak.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan akan menyediakan portal awam untuk semakan kelayakan subsidi bersasar RON95 selain mewujudkan pusat perhubungan bagi membolehkan orang ramai mendapat bantuan, memberi maklum balas atau membuat aduan melalui pelbagai saluran demi memastikan pengalaman kekal lancar dan inklusif.
Pada masa sama, beliau menyifatkan kesan pelaksanaan penyasaran subsidi elektrik dan diesel telah memberi ruang fiskal yang lebih luas kepada kerajaan untuk membiayai program kebajikan rakyat seperti peningkatan bantuan SARA, perlindungan sosial serta penambahbaikan prasarana kesihatan, pendidikan dan pengangkutan awam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial