JENAYAH & MAHKAMAH

Bapa Lemas Selepas Selamatkan Anak Jatuh Sungai

25/08/2025 10:09 PM

KOTA BHARU, 25 Ogos (Bernama) -- Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas berjaya menyelamatkan anak lelakinya yang terjatuh ke dalam sungai berhampiran rumah mereka di Jalan Kampung Sat, Tanah Merah, petang tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanah Merah Roslan Ismail berkata mangsa yang dikenali sebagai "Budin", 46, keluar berjalan bersama dengan anak lelakinya berusia lapan tahun sebelum kejadian berlaku.

"Anaknya dikatakan terjatuh dan lemas di sungai itu, tetapi berjaya diselamatkan oleh mangsa. Bagaimanapun, selepas itu mangsa pula hilang dibawa arus dan hingga kini masih belum ditemukan," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata identiti penuh mangsa masih dalam proses pengesahan daripada ahli keluarga terdekat.

Roslan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui MERS 999 pada 7.26 malam dan sepasukan anggota bergegas ke lokasi sejauh 3.6 kilometer dari balai sebelum tiba pada 7.45 malam.

“Sebaik tiba, pasukan operasi mengesahkan seorang lelaki dewasa dilaporkan lemas dan kami memohon bantuan Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) untuk melaksanakan operasi mencari dan menyelamat,” katanya.

Beliau berkata operasi SAR masih diteruskan dengan kekuatan anggota BBP Tanah Merah bersama-sama Unit PPDA, selain mendapat kerjasama polis serta penduduk setempat bagi mempercepat pencarian.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan