AM

FOMO, Kejuruteraan Sosial Punca RM1.12 Bilion Lesap Akibat Penipuan Dalam Talian

25/08/2025 08:08 PM

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Walaupun pelbagai amaran telah diberikan, penipuan dalam talian terus berleluasa apabila penipu atau scammer semakin licik menggunakan pelbagai helah termasuk teknik manipulasi psikologi seperti kejuruteraan sosial dan rasa takut terlepas peluang (FOMO) untuk memerangkap mangsa. 

Faktor inilah yang menyumbang kepada jumlah kerugian besar, dengan data Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini sahaja, rakyat Malaysia kehilangan RM1.12 bilion, bersamaan purata RM6.1 juta lesap setiap hari akibat helah penipuan digital. 

Tinjauan Bernama di laman sosial mendapati ramai mangsa berkongsi pengalaman ditipu ketika membeli barangan dalam talian termasuk pakaian yang tidak dihantar atau berkualiti lebih rendah berbanding iklan, selain pakej percutian dan pendakian yang sebenarnya tidak wujud.

Lebih menyedihkan, ada yang berkongsi pengalaman pahit pada hari perkahwinan apabila ditipu jurusolek atau jurukamera termasuk pakej bulan madu ke luar negara yang ditempah menerusi media sosial, melibatkan kerugian ratusan hingga ribuan ringgit. 

Bercakap kepada Bernama, Ketua Kumpulan Penyelidikan Keselamatan Siber (CyReg) Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Mohd Izuan Hafez Ninggal berkata kejuruteraan sosial menjadi senjata penipu kerana ia memanfaatkan kelemahan psikologi untuk meraih kepercayaan mangsa. 

Scammer bijak meraih kepercayaan mangsa melalui ayat yang meyakinkan, audio atau video palsu, ulasan palsu, kod QR palsu dan pelbagai cara lain yang sentiasa diperbaharui. 

“Mereka juga mencipta FOMO menyebabkan emosi mula melebihi logik sebab naif dan kurang pendedahan, pengalaman atau pengetahuan,” katanya.

Beliau menambah tiada perisian atau perkakasan yang boleh melindungi seseorang daripada serangan kejuruteraan sosial kecuali kesedaran, pengalaman dan sikap berhati-hati sebagai benteng utama. 

Sebagai langkah pencegahan, beliau menasihatkan supaya pembelian dilakukan melalui platform e-dagang rasmi kerana ia mempunyai mekanisma keselamatan seperti bayaran hanya akan dikreditkan selepas pembeli mengesahkan penerimaan barang.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat UPM itu berkata bagi peniaga, penipuan pula berlaku melalui kad kredit dicuri, resit pembayaran palsu dan dakwaan barang belum diterima atau barangan rosak.

“Terdapat juga kes pembeli menggunakan kad kredit sendiri tetapi selepas barang sampai, mereka membuat laporan kepada bank mendakwa transaksi tidak sah atau dilakukan orang lain,” katanya.

Mohd Izuan berkata kerugian paling besar sebenarnya bukan sekadar wang ringgit tetapi ketenteraman hidup apabila mangsa terus dibelenggu rasa takut dan bimbang.

“Kita perlu sentiasa berwaspada untuk mengurangkan risiko menjadi mangsa. Jika leka, kita mudah dimanipulasi dan berdepan kecederaan emosi akibat kehilangan wang ringgit, masa dan usaha,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan