AM

PKT Logistics Perkasa 300 Pelajar UMK Dengan Program Kelayakan Diterajui Industri

25/08/2025 08:31 PM

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Lebih 300 pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah menamatkan program kelayakan logistik laluan pantas yang direka untuk menukar pengetahuan bilik kuliah kepada kemahiran sedia industri.

Program Tauliah Industri dan Profesional Kementerian Pendidikan Tinggi (KPTiP) selama 12 hari itu dianjurkan dengan kerjasama PKT Logistics Group, The Chartered Institute of Logistics and Transport (CILT) dan UMK, dengan pembiayaan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi.

Menurut kenyataan, PKT Logistics memaklumkan KPTiP diadakan di The Ship Campus, Batu Kawan, Pulau Pinang yang dibahagikan kepada dua kohort, iaitu yang pertama pada Februari dan kedua pada Julai lepas.

"Di The Ship, peserta menjalani latihan di kemudahan canggih PKT Logistics, memperoleh pendedahan secara langsung terhadap sistem gudang, operasi pelabuhan darat, pengurusan pengangkutan dan amalan terbaik global dalam sistem pengurusan rantaian bekalan," menurut kenyataan itu.

Majlis penutupan program yang diadakan di kampus berkenaan pada 6 Ogos lepas, meraikan pencapaian peserta dan menyaksikan pemeteraian dua perjanjian penting untuk memperkukuh kerjasama akademia–industri.

"Pertama ialah memorandum persefahaman (MoU) antarabangsa antara PKT Logistics dengan Telkom University, Indonesia, bertujuan memupuk kerjasama rentas sempadan dalam bidang pendidikan, mobiliti bakat dan inovasi logistik.

"MoU kedua adalah antara PKT Logistics dengan UMK yang akan meningkatkan penyelidikan, hubungan industri dan pembangunan tenaga kerja dalam sektor logistik," menurut kenyataan itu.

Program berkenaan juga, menurut PKT Logistics, mencerminkan komitmen sekian lama dalam membangunkan bakat yang bersedia menghadapi masa depan, meningkatkan kebolehpasaran siswazah dan memperkukuh daya saing Malaysia dalam rantaian bekalan global.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan