SIBU, 25 Ogos (Bernama) -- Dua individu masing-masing membabitkan seorang mekanik dan suri rumah mengalami kerugian berjumlah keseluruhan RM551,448 selepas menjadi mangsa penipuan dalam talian, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Sibu menerima laporan polis daripada kedua-dua mangsa pada semalam dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Mekanik berusia dalam lingkungan 40-an telah berkenalan dengan seorang wanita pada 13 Jun lepas di Facebook dan ditawarkan satu perniagaan sambilan yang kononnya mampu memberikan pulangan lumayan.
“Perniagaan itu membabitkan pembelian barangan perhiasan wanita serta menjual semula bagi memperoleh komisyen 10 peratus daripada harga barangan melalui laman web JIN BAO FUFC.VIP/INC.
Beliau berkata bermula 13 Jun hingga 28 Julai, mangsa telah membuat transaksi sebanyak 21 kali ke dalam 10 akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM317,048.00,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Sementara itu, suri rumah berusia dalam lingkungan 30-an pula mengalami kerugian RM234,400 menerima panggilan daripada seorang individu tidak dikenali pada 1 Ogos lepas.
Pemanggil memperkenalkan diri sebagai pegawai dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan dimaklumkan nombor telefon mangsa telah digunakan untuk aktiviti penggubahan wang haram sebelum panggilan disambungkan kepada individu yang menyamar sebagai anggota polis.
“Merasa bimbang, mangsa telah menurut semua arahan suspek dan mengarahkan mangsa memberikan maklumat jumlah wang simpanan dan memajak emas miliknya bagi tujuan siasatan serta dikehendaki membuat pemindahan wang secara berperingkat ke dalam akaun-akaun bank lain.
“Bermula 11 Ogos hingga 16 Ogos mangsa telah membuat sebanyak 20 kali transaksi ke dalam tujuh akaun bank dengan jumlah keseluruhan RM234,400,” katanya.
Beliau berkata setelah selesai membuat pembayaran, mangsa gagal menghubungi suspek dan menyedari dirinya ditipu sebelum membuat laporan polis.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial