AM

Fun And Fresh Up, Inisiatif GM Klang Bersih Dan Lestari Ruang Awam Bandar Klang

25/08/2025 03:44 PM

SHAH ALAM, 25 Ogos (Bernama) -- Pusat borong terbesar di Malaysia, GM Klang menganjurkan program “Fun and Freshen Up” bagi membersihkan dan melestarikan ruang awam bandar Klang sempena sambutan Earth Warriors Day 2025, Sabtu lepas.

GM Klang memaklumkan program menerusi inisiatif “Wake Up Make Up” anjuran Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) itu direalisasikan melalui kerjasama erat bersama Earth Warriors Association dan Persatuan Pemborong Malaysia (PPM). 

“Program bermula pada 7.30 pagi itu terbahagi kepada dua komponen utama iaitu di bawah penyelarasan MBDK menerusi inisiatif “Wake Up Make Up”, agensi jemputan melaksanakan aktiviti pengecatan mural dan penanaman pokok hiasan, memberi wajah baharu dan suasana yang lebih segar kepada kawasan rekreasi Taman Pengkalan Batu.

“Pasukan GM Klang bersama Earth Warriors dan PPM pula menerajui aktiviti pembersihan kawasan sekitar mural yang merupakan inti pati utama program “Fun & Freshen Up”,” menurut GM Klang dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, GM Klang turut menganjurkan pertandingan Instagram Stories bertemakan “I AM THE EARTH WARRIOR!”, dengan peserta perlu memuat naik gambar paling kreatif yang mencerminkan semangat sebagai "pahlawan bumi" dan tag akaun rasmi GM Klang.

Sebanyak lima penyertaan paling kreatif telah dipilih pada hari sama dan pemenang membawa pulang hadiah eksklusif termasuk barangan cenderamata serta perkakas rumah tajaan GM Klang, sekali gus membuktikan bahawa mesej kelestarian boleh disampaikan dengan cara yang menyeronokkan dan inklusif.

Pengurus Kanan Komunikasi Jenama GM Klang Norsuhaida Othman dalam kenyataan sama berkata inisiatif berkenaan telah dimulakan secara sederhana tahun lepas di sekitar Bandar Botanic Klang, yang menjadi permulaan bermakna bagaimana usaha kecil boleh memberi kesan besar kepada komuniti.

Beliau berkata pihaknya berbangga dapat membawa misi yang sama ke Taman Pengkalan Batu dengan skala yang lebih teratur tahun ini hasil sokongan padu daripada rakan kerjasama seperti Earth Warriors Association, PPM dan MBDK.

"Melihat semangat peserta yang turun padang seawal pagi, berganding bahu membersihkan kawasan mural dan menyebarkan mesej kelestarian melalui IG Story Challenge benar-benar memberi inspirasi kepada kami bahawa program kebersihan tidak semestinya bersifat konvensional, sebaliknya boleh dilaksanakan secara kreatif, moden dan menyeronokkan.

"Kami yakin pendekatan seperti ini mampu mendekatkan masyarakat kepada nilai kelestarian, dan berharap program ini akan terus berkembang dengan lebih banyak penyertaan, lokasi serta semangat komuniti yang semakin utuh dari tahun ke tahun,” katanya.

Norsuhaida berkata sokongan GM Klang terhadap inisiatif “Wake Up Make Up” anjuran MBDK mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat itu terhadap tanggungjawab alam sekitar dan kerjasama berimpak tinggi bersama komuniti, manakala program “Fun and Freshen Up” bukan sekadar program satu hari, tetapi juga berkembang sebagai platform untuk memupuk gaya hidup lestari, pemilikan komuniti dan penataan ruang awam secara kreatif.

"GM Klang akan terus berperanan sebagai pemangkin kepada inisiatif berasaskan komuniti yang mampu memperkasakan ruang awam dan memperkukuh semangat kebersamaan di Klang dan kawasan sekitarnya," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan