SEPANG, 25 Ogos (Bernama) -- Seorang pembantu kedai pakaian didenda RM14,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu video yang bersifat lucah menerusi akaun Twitter miliknya, tiga tahun lepas.
Hakim Ahmad Fuad Othman menjatuhkan hukuman denda RM7,000 bagi setiap pertuduhan terhadap Siti Amiza Baharuddin, 28, selepas dia mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mahkamah turut memerintahkan wanita itu dipenjara enam bulan bagi setiap pertuduhan, jika gagal membayar denda.
Sebelum menjatuhkan hukuman hakim menasihati Siti Amiza agar insaf dengan perbuatannya dan menjadikan ia sebagai pengajaran.
"Orang Kena Saman melakukan komunikasi untuk tujuan komersial namun cara kamu buat sifatnya tidak kena dengan kesopanan masyarakat kita.
"Jadi undang-undang dirangka sebegitu rupa untuk memelihara moral masyarakat kita dan supaya jangan ada komunikasi seperti ini," katanya.
Terdahulu, peguam Ahmad Hafiz A. Bakar yang mewakili tertuduh merayu agar dikenakan hukuman berbentuk denda yang minimum dengan alasan pengakuan bersalah oleh tertuduh wajar diberi pertimbangan, serta pertuduhan yang dihadapinya telah mendatangkan kesan kepada kesihatan fizikal dan mental tertuduh.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Fadhli Ab Wahab memohon hukuman berbentuk pengajaran dengan mengambil kira faktor kepentingan awam.
Mengikut kedua-dua pertuduhan pindaan, Siti Amiza didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi Twitter telah secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu video yang lucah sifatnya dengan niat untuk mengganggu orang lain.
Hantaran tersebut dilakukan pada 10.13 malam, 18 Dis 2022 dan 7.47 malam, 13 Sept 2022.
Kedua-dua hantaran itu telah dilihat oleh MCMC pada 10.08 pagi dan 4.34 petang, 19 Mei 2023 di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tower 1, Jalan Impact, Cyber 6, 63000 Cyberjaya, Sepang, Selangor.
Pertuduhan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3), iaitu denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Ahmad Fuad turut memerintahkan agar barang kes iaitu komputer riba dan telefon bimbit diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk proses selanjutnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial