AM

Portal Manfaat Permudah Akses Bantuan Kerajaan

24/08/2025 05:34 PM

NILAI, 24 Ogos (Bernama) -- Portal Manfaat, inisiatif Kementerian Kewangan bagi memudahkan rakyat mengakses pelbagai skim bantuan dan sokongan kerajaan, kini giat dipromosi secara meluas bagi memastikan bantuan yang ditawarkan dapat disalur kepada golongan memerlukan.

Pengarah Eksekutif Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Ahmad Jefry Aziz berkata melalui Portal Manfaat, pengguna boleh mendapatkan maklumat terkini tentang inisiatif kerajaan yang relevan dengan keperluan serta profil mereka seterusnya memohon bantuan secara mudah dan pantas.

"Kira-kira 2.1 juta pelawat telah mengakses portal berkenaan bagi tempoh 12 Sept 2023 hingga hari ini… dengan hanya beberapa klik, rakyat boleh mengetahui bantuan yang layak mereka terima.

"Sebagai contoh, para peniaga kecil dan ibu tunggal... mereka boleh akses portal ini, masukkan butiran yang diperlukan kemudian maklumat tentang bantuan akan disediakan kepada mereka," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau juga berkata platform Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Negeri Sembilan adalah antara usaha untuk menguar-uarkan kepada orang ramai tentang laman sesawang berkenaan.

Melalui PMR, petugas PACU dapat berjumpa dengan pengunjung secara fizikal dan menjelaskan lebih tepat tentang fungsi portal berkenaan selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai keterangkuman, keprihatinan serta kesejahteraan.

Beliau berkata portal itu sentiasa dikemas kini mengikut keperluan dan perkembangan semasa yang dipantau oleh unit Pantau MADANI.

Sementara itu, Penolong Pengarah Seksyen Khidmat Pengurusan Nur Nadia Zaris Zakaria berkata sejak hari pertama Program MADANI Rakyat Negeri Sembilan berlangsung, reruai PACU menerima kehadiran ramai pengunjung bagi mendapatkan penjelasan mengenai maklumat bantuan yang layak diterima.

"Ramai hadir bertanyakan tentang jenis bantuan bersesuaian dengan keperluan mereka, dan tidak kurang juga yang baru mengetahui kewujudan Portal Manfaat ini.

"Ini menunjukkan betapa pentingnya usaha turun padang untuk memberi maklumat terus kepada rakyat," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan