KUALA SELANGOR, 23 Ogos (Bernama) -- Satu Memorandum Jemaah Menteri (MJM) berhubung pengharaman rokok elektronik atau vape akan dibentangkan kepada Kabinet selewat-lewatnya menjelang hujung tahun ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata untuk usaha berkenaan, Kementerian Kesihatan (KKM) telah membentang laporan cadangan awal jawatankuasa kepakaran dalam mesyuarat Kabinet semalam.
“Pembentangan (laporan cadangan) itu saya buat ringkas. Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Kabinet mahukan saya menghantar satu Memorandum Jemaah Menteri ke arah pengharaman vape.
“Macam saya selalu sebutkan, ia bukannya kalau tetapi kita memang akan haramkan. Saya bertanggungjawab untuk melunaskan arahan itu dan persoalannya adalah cara, masa serta pendekatan digunakan,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Negeri Selangor dan Majlis Penutup Program Jom Nak Sihat Kuala Selangor 2.0 2025 di Kompleks Stadium Tertutup Kuala Selangor di sini.
Dzulkefly ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi KKM di Dewan Rakyat pada Khamis lepas berkata laporan terperinci berhubung cadangan pengharaman vape sedang dilengkapkan oleh jawatankuasa kepakaran kementeriannya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata Selangor dijangka mempunyai empat ‘Wellness Hub’ dengan penambahan pusat baharu di Kuala Selangor yang kini dalam proses rangka pembinaan.
Beliau berkata untuk peringkat nasional, kerajaan menyasarkan untuk mewujudkan 81 Wellness Hub di seluruh negara menjelang 2033.
“Reformasi sistem kesihatan kini menjadi tumpuan utama negara di bawah RMK13, dengan peralihan daripada model ‘sick-care’ kepada ‘health-care’. Tumpuan ini menekankan pencegahan penyakit, penjagaan kesihatan primer, dan pembudayaan hidup sihat sebagai teras sistem kesihatan yang mampan.
“Melalui pendekatan ini, kerajaan berhasrat memastikan rakyat bukan sahaja dirawat apabila sakit tetapi dibimbing dan didorong untuk mengekalkan kesihatan yang baik sepanjang hayat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial