DUNIA

Niaga Hadapan FBM KLCI Dijangka Teruskan Momentum Meningkat Minggu Depan

23/08/2025 10:15 AM

Oleh Zarul Effendi Razali

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan tinggi minggu hadapan, disokong oleh prospek positif pasaran tunai, kata penganalisis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata tumpuan pelabur pada minggu hadapan akan terarah kepada beberapa indikator ekonomi penting yang akan dikeluarkan.

Beliau berkata ini termasuk keuntungan industri China setakat ini bagi 2025 dan Indeks Pengurus Pembelian (PMI), serta tuntutan awal faedah pengangguran di Amerika Syarikat.

Beliau berkata di peringkat domestik, indeks penanda aras itu telah melepasi paras psikologi 1,600 seketika pada Jumaat namun gagal mengekalkan momentumnya.

“Sekiranya indeks itu dapat mencecah di atas paras 1,600, ini berkemungkinan membuka laluan kepada paras rintangan seterusnya 1,620. Bagaimanapun, indeks penanda aras kini berada dalam keadaan terlebih jual.

“Jadi,  kami tidak menolak kemungkinan pengambilan untung berlaku dalam masa terdekat,” katanya kepada Bernama.

Berasaskan mingguan, Ogos 2025 dan Disember 2025 masing-masing meningkat 27.0 mata kepada 1,604.0 dan 1,582.5; September 2025 naik 26.5 mata kepada 1,582.5, manakala Mac 2026 menokok 24.5 mata kepada 1,564.5.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 30,751 lot daripada 39,969 lot minggu lepas manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 45,470 kontrak daripada 44,964 kontrak.

Secara mingguan, FBM KLCI naik 21.23 mata kepada 1,597.47 pada Jumaat daripada 1,576.34 yang dicatatkan pada minggu lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan