DUNIA

Ringgit Dijangka Terus Mengukuh Minggu Depan

23/08/2025 10:15 AM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Ringgit dijangka terus mengukuh minggu depan selepas Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) Jerome Powell membayangkan mengenai kemungkinan penurunan kadar faedah pada September.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata USDMYR berkemungkinan melepasi paras 4.20 minggu depan berikutan kenyataan Powell pada Simposium Dasar Ekonomi Jackson Hole semalam.

“Indeks Dolar AS (DXY) merosot bersama dengan hasil Perbendaharaan AS apabila Powell memberi isyarat bahawa pendirian dasar monetari yang ketat mungkin perlu diselaraskan semula untuk menyokong pertumbuhan ekonomi,” katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, katanya pelabur meningkatkan jangkaan terhadap kemungkinan penurunan kadar faedah pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 16 hingga 17 September.

“Minggu depan, pelabur akan memantau data indeks keyakinan pengguna Lembaga Persidangan AS, yang mengukur tahap keyakinan pengguna terhadap aktiviti ekonomi dan indeks harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE), yang mencatat kadar inflasi atau deflasi dalam pelbagai perbelanjaan pengguna,” katanya.

Sementara itu, pada asas Jumaat kepada Jumaat, ringgit mengakhiri minggu ini dengan mencatatkan rendah berbanding dolar AS, ditutup pada 4.2245/2295 daripada 4.2085/2155 sebelum ini. 

Mata wang tempatan diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8408/8443 daripada 2.8653/8702 pada minggu sebelumnya, naik berbanding euro kepada 4.8996/9054 daripada 4.9185/9267 dan mengukuh berbanding pound kepada 5.6659/6726 daripada 5.7050/7145.

Ringgit turut diniagakan tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2763/2805 daripada 3.2820/2877 minggu lepas, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 258.3/258.7 daripada 260.2/260.8 dan tinggi berbanding baht Thailand kepada 12.9387/9592 daripada 12.9760/13.0032 pada minggu sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit rendah berbanding peso Filipina kepada 7.42/7.43 daripada 7.37/7.39 minggu lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan