KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak rakyat Malaysia untuk bersama-sama menghadiri Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza di Dataran Merdeka pada Ahad ini sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Beliau berkata perhimpunan itu bukan sahaja simbol sokongan kepada saudara di Palestin yang terus dizalimi rejim Zionis, malah akan menjadi titik mula gerakan delegasi aktivis yang bakal membawa bantuan ke Gaza hujung bulan ini.
“Insya-Allah, Ahad ini akan bersama berhimpun di Dataran Merdeka bagi menyatakan solidariti buat saudara kita di Palestin yang terus dizalimi rejim Zionis.
“Ayuh kita semarakkan panji-panji keadilan dan kemanusiaan di Himpunan & Selawat Malaysiaku Bersama Gaza. Semoga doa dan usaha ini menjadi kekuatan untuk saudara kita terus bangkit dalam perjuangan memerdekakan bumi Palestin,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasmi beliau hari ini.
Acara anjuran bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Cinta Gaza Malaysia (CGM) itu dinaungi Perdana Menteri serta disokong Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Menurut penganjur, lebih 100,000 peserta dari seluruh negara dijangka menghadiri perhimpunan itu dengan tema pakaian berwarna putih.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial