PUTRAJAYA, 22 Ogos (Bernama) -- Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melakar sejarah tersendiri apabila dua pegawainya berjaya menamatkan Kursus Asas Payung Terjun Static Ram Air yang dikendalikan Pasukan Khas Udara (PASKUB) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Kursus intensif dengan kerjasama jurulatih penerjunan bertauliah daripada Unit 69 Komando, Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu berlangsung di Lapangan Terbang Lama, Tekah, Taiping bermula dari 10 hingga 22 Ogos.
Komander STAR Team Kepten Maritim Syuzefril Mat Noor dan Ketua Skuadron Gempur Sabah & Sarawak Leftenan Komander Maritim Nik Muhamad Hafizan Nik Muhamad Zawawi menerima pemakaian sayap kepakaran terjunan pada upacara di sini hari ini yang disempurnakan Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Nor Hisham Mohammad.
APMM dalam kenyataan memaklumkan sepanjang latihan itu, para peserta berjaya melaksanakan 13 kali terjunan dari ketinggian 4,000 kaki dengan menggunakan pesawat Mi-17-IV (M994-01) BOMBA 01 sebagai platform rasmi terjunan.
“Penyertaan julung kali STAR Team dalam kursus terjunan ini merupakan langkah bersejarah selepas 20 tahun pasukan elit Maritim Malaysia itu ditubuhkan.
“Ia membawa objektif besar bagi memperkukuh keupayaan taktikal dan kepakaran udara operator STAR Team dalam misi khas maritim,” menurut kenyataan itu.
APMM memaklumkan kejayaan ini menandakan kerjasama strategik antara STAR Team Maritim Malaysia dan PASKUB Bomba, sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha meningkatkan profesionalisme dan kesiapsiagaan aset elit negara di medan operasi sebenar.
Kursus intensif itu turut disertai 15 peserta terdiri daripada pelbagai agensi keselamatan negara termasuk dua Pegawai STAR Team, seorang pegawai Pasukan Gerakan Am (PGA) PDRM, manakala selebihnya PASKUB Bomba.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial