JENAYAH & MAHKAMAH

Pengarah Syarikat Didakwa Tipu Pembekalan 10 Kontena Minyak Masak

22/08/2025 04:31 PM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu berhubung dengan pembekalan 10 kontena minyak masak Palm Olein CP10 bernilai USD315,675, tahun lepas.

Nuruliman Haidi Che Mansor, 44, didakwa telah memperdayakan syarikat Global Foods and Confectionaries KFZE (Nigeria) melalui wakilnya Abdulrahman Muhammad Garba dan Sani Abdullahi Maikano supaya mempercayai bahawa syarikatnya, Tuan Iman Consultancy Sdn Bhd, mempunyai keupayaan serta lesen sah untuk membekalkan 10 kontena Palm Olein CP10 berkenaan.

Perbuatan itu telah mendorong kedua-dua individu terbabit menyerahkan USD94,700 (RM414,810.62) ke dalam syarikat milik tertuduh dengan mereka tidak akan melakukan perkara terbabit sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan pada 29 Nov 2024 di sebuah kondominium, di Jalan Sultan Ismail, dekat sini, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun serta sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Wafa Zainal Abidin menawarkan jaminan RM50,000 dengan dua penjamin, namun peguam Fozi Addhwa Mohamad Fozi yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan.

Hakim Azrul Darus membenarkan Nuruliman diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri ke balai polis sebulan sekali sehingga kes selesai selain menetapkan 29 Sept ini untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan