FOKUS BERNAMA

ROBOT Bantu Pulih: Revolusi Rawatan Di PERKESO

22/08/2025 04:30 PM
Daripada Nurqalby Mohd Reda

Di era kemajuan teknologi perubatan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) muncul sebagai peneraju dalam menyediakan rawatan pemulihan bertaraf dunia kepada pencarum yang mengalami kecederaan atau hilang upaya semasa bekerja.

Agensi itu mencuri tumpuan apabila pusat rehabilitasinya merevolusikan pendekatan tradisional dalam pemulihan pesakit dengan mengetengahkan teknologi robotik yang ditawarkan mengikut keperluan individu.

Kaedah yang digunakan bukan hanya mempercepat proses penyembuhan, bahkan turut memberi harapan baharu kepada pesakit untuk kembali aktif dalam kehidupan seharian.

Menerusi kepakaran tenaga profesional serta kemudahan bertaraf dunia, Pusat Rehabilitasi Perkeso  (PRP) berperanan besar dalam membina semula harapan para pesakit, terutamanya bagi mereka yang berhasrat untuk kembali bekerja.

 

KEMBALI AKTIF

Mohd Syauti Abdul Rahman, 38 tahun, antara pencarum Perkeso yang menikmati kemudahan PRP dan kejayaannya menamatkan larian maraton sejauh 42 kilometer awal tahun ini membuktikan rawatan diterimanya itu berkesan dalam memulihkan sakit tulang belakang yang dialaminya sejak 2022.  

Mohd Syauti yang bekerja sebagai juruteknik pendingin hawa di sebuah kilang di Shah Alam, Selangor, berkata dia kini sembuh sepenuhnya dan dapat kembali aktif dalam kegiatan yang digemari.

“Saya mula mengalami kesakitan berterusan di bahagian belakang sekitar 2022. Saya sangkakan masalah biasa kerana saya sering mengangkat barangan besar dan berat.

pic-2

“Bidang kerja teknikal memang banyak makan kudrat. Jadi, saya abaikan tanpa menyedari sebenarnya saya mengalami slipped disc (cakera teranjak),” kongsinya dengan Bernama.  

Pada peringkat awal, dia hanya bergantung pada ubat tahan sakit, namun kesakitan berulang yang dialaminya menyebabkan segala pergerakannya terbatas.

Dari situ dia cuba mendapatkan rawatan bersesuaian termasuk memohon rawatan di  PRP Shah  Alam.

“Sebelum dapat rawatan daripada Perkeso, saya juga telah pergi ke beberapa hospital dan pusat fisioterapi lain namun tiada perubahan ketara. Akhirnya saya cuba cari maklumat di media sosial dan terjumpa tentang Pusat Rehabilitasi Perkeso ini.

“Rawatan dijalankan selama tiga bulan bermula Julai hingga September 2023, dengan memfokuskan pada membetulkan postur badan, menguatkan otot belakang dan abdomen serta memulihkan fungsi pergerakan menerusi terapi robotik,’’ katanya.

Mohd Syauti berkata selain itu, beberapa aktiviti turut dibuat termasuk melakukan senaman di atas pengisar injakan (treadmill), latihan regangan dan bertinggung (squat) selain turut merujuk modul yang disediakan bagi melakukan rawatan sendiri di rumah.

pic-3

‘’Kakitangan di PRP juga sangat terlatih… jika sebelum ini saya sukar berdiri lama atau membongkokkan badan, siapa sangka dengan rawatan berterusan dari rumah menggunakan modul PRP itu, saya boleh pulih dan berjaya menyempurnakan maraton sejauh 42km baru-baru ini,’’tambahnya.

Pandangan senada turut disuara seorang lagi pelanggan PRP itu yang mahu dikenali Md Ariffin, 42 yang sebelum ini sukar berjalan akibat mengalami ‘Arthritis’  (radang sendi) dua tahun lalu.
Beliau kemudian mendapatkan rawatan di PRP Melaka pada awal tahun lalu dan menyifatkan rawatan berasaskan robotik dan teknologi terkini telah mempercepatkan proses penyembuhannya.
“Rawatan di Pusat Rehabilitasi Perkeso itu sangat membantu. Saya sendiri sebelum ini tidak boleh meluruskan kaki sepenuhnya akibat ‘Arthritis'  lutut, tetapi selepas dua bulan mendapatkan rawatan, saya lihat perubahan ketara.
‘’Saya disahkan doktor mengalami  'Arthritis' ini kerana saya berdiri terlalu lama dan pekerjaan saya juga memaksa saya untuk berdiri lama,’’ katanya yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang di Ipoh, Perak.

 

PELOPOR PEMULIHAN

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata PRP kini berperanan sebagai pelopor utama dalam penyediaan teknologi pemulihan terkini dan menyeluruh di Malaysia, khususnya dalam bidang neurologi, ortopedik dan vokasional.

Beliau berkata PRP mengintegrasikan pelbagai teknologi canggih dalam satu ekosistem rawatan yang lengkap untuk mempercepatkan proses pemulihan dan meningkatkan kebolehupayaan pesakit kembali berdikari dan aktif dalam lingkungan masyarakat.

pic-4

Beliau berkata setakat ini Perkeso telah membangunkan beberapa pusat rehabilitasi termasuk pusat satelit di seluruh negara, antaranya  Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak (PRPTAR) di Melaka yang berfungsi sebagai ibu pejabat, PRP Kuala Terengganu (PRPKT) Terengganu, PRP Quill City Mall Kuala Lumpur dan PRP Shah Alam, Selangor.

Selain itu, Perkeso turut membangunkan dua lagi pusat baharu iaitu Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Kebangsaan di Perak (telah beroperasi) serta Pusat Rehabilitasi Perkeso Wilayah Pantai Timur, Setiu, Terengganu yang dijangka siap pada 2027.

“Setakat Jun 2025, lebih daripada 21,000 pencarum Perkeso telah menerima manfaat rawatan rehabilitasi di PRP di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, lebih 15,000 pencarum iaitu sekitar 71 peratus telah berjaya diintegrasikan semula ke dalam masyarakat sama ada melalui pemulihan fungsi harian (ADL) atau menerusi program RTW (Return To Work).

“Angka ini mencerminkan keberkesanan pendekatan rehabilitasi menyeluruh PRP dalam memulihkan keupayaan dan meningkatkan kualiti hidup pencarum Perkeso,’’ katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata ramai pencarum yang mengalami kelumpuhan separa atau kecacatan kekal telah berjaya kembali bekerja, menjalani kehidupan berdikari, memandu serta terlibat dalam aktiviti sukan dan sosial, impak daripada pemulihan menyeluruh yang diterima di PRP.

pic-5

Bagaimanapun katanya bagi pencarum yang kekal terlantar atau tidak dapat kembali berdikari sepenuhnya, Perkeso tetap komited menjaga kebajikan mereka melalui penyaluran faedah yang berterusan, termasuk pembekalan peralatan perubatan, kerusi roda, katil hospital, lampin pakai buang serta bahan habis guna lain yang diperlukan.

Pendekatan itu katanya mencerminkan prinsip Perkeso yang bukan sahaja memberi rawatan, tetapi juga menjamin kesinambungan penjagaan dan sokongan hidup untuk golongan yang paling memerlukan.

 

KEPELBAGAIAN TEKNOLOGI TERMASUK ROBOTIK

Mengulas lanjut, Mohammed Azman  berkata PRP turut disifatkan sebagai sebuah institusi pemulihan yang komprehensif, moden dan berteknologi tinggi bertujuan memenuhi keperluan pemulihan bagi pekerja yang mengalami kecederaan fizikal, gangguan sistem saraf atau masalah pergerakan akibat kemalangan serta kecederaan akibat pekerjaan.

Pusat itu katanya turut berfungsi sebagai hab rujukan utama dalam menyediakan rawatan rehabilitasi menyeluruh, selaras dengan standard antarabangsa.

“Antara teknologi yang digunakan pusat ini ialah HAL® Robot Suit (lower-limb, single-joint dan lumbar) yang berfungsi melalui isyarat bioelektrik pesakit untuk merangsang pergerakan otot secara semula jadi, serta ROBERT®, robot terapi pasif-aktif yang membantu memulakan mobilisasi awal dengan selamat dan berkesan.

pic-6

‘’PRP turut menggunakan terapi rangsangan elektrik fungsian (FES) dalam pemulihan kawalan untuk berjalan dan genggaman tangan, disokong oleh ‘Luna EMG’ iaitu teknologi yang memberikan maklum balas otot secara masa nyata untuk meningkatkan ketepatan terapi,’’ katanya.

Bagi pemulihan neurologi yang lebih kompleks, PRP telah memperkenalkan ‘recoveriX’, iaitu teknologi Brain-Computer Interface (BCI) yang menggabungkan rangsangan elektrik dan visualisasi otak bagi membantu pesakit strok dan multiple sclerosis mendapatkan semula kawalan motor.

Sementara ‘Vibramoov®’ pula, menawarkan rangsangan sensorimotor melalui getaran berirama, manakala ‘Sidra Leg’  adalah ‘eksoskeleton robotic’ yang digunakan dalam pembelajaran semula pola berjalan.

Bagi pemulihan tangan, PRP menggunakan Hand of Hope® iaitu sistem latihan interaktif berperingkat, yang mengembalikan fungsi genggaman tangan dengan lebih efektif.

“Kesemua teknologi ini digabungkan dalam pelan rawatan individu berdasarkan penilaian biopsikososial dan dilaksanakan oleh pasukan multidisiplin yang merangkumi doktor, juruterapi, jururawat, pakar psikologi dan pegawai kerjaya.

“Pendekatan ini bukan sahaja mempercepatkan proses pemulihan dan pengembalian fungsi, malah meningkatkan peluang pencarum untuk kembali bekerja serta menjalani kehidupan yang lebih produktif dan bermakna,’’ katanya.

pic-7

Tambahnya, PRP ketika ini berdiri sebagai antara pusat rehabilitasi paling canggih di rantau ini, seiring dengan aspirasi Perkeso untuk menerajui sistem pemulihan berteknologi tinggi yang berpaksikan kecekapan, kemanusiaan dan masa depan.

 

BANTUAN DAN SOKONGAN MENYELURUH

Dalam pada itu, Mohammed Azman berkata PRP turut menyediakan sokongan psikososial secara menyeluruh kepada pencarum dan ahli keluarga mereka menerusi sesi kaunseling psikologi, terapi kumpulan serta pendidikan kesihatan mental.

Beliau berkata pakar psikologi klinikal akan menjalankan penilaian dan intervensi emosi untuk membantu pesakit mengurus tekanan, menerima keadaan baharu serta membina daya ketahanan diri.

Dengan lebih banyak pencarum kembali bekerja dan hidup secara produktif, PRP membuktikan bahawa pemulihan bukan sekadar soal perubatan malah turut menyentuh nilai kemanusiaan.

‘’Keluarga turut dilibatkan dalam sesi bimbingan penjagaan, strategi komunikasi dan penyesuaian sosial agar proses pemulihan dapat diteruskan dengan sokongan ahli rumah tangga yang kukuh.

‘’Perkeso turut menyediakan bantuan sokongan sosial yang lebih meluas menerusi Program Return to Work (RTW), bantuan interim semasa pemulihan dan pemadanan pekerjaan melalui portal MYFutureJobs. Pendekatan bersepadu ini mencerminkan komitmen Perkeso dalam memastikan kebajikan pencarum dipelihara bukan sahaja dari sudut fizikal, tetapi juga emosi dan sosial,’’ tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan