AM

Usul RMK13 Diluluskan, Menteri Perjelas Pelbagai Isu Minggu Kelima Dewan Rakyat

22/08/2025 10:43 AM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Sidang Dewan Rakyat minggu kelima menyaksikan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang merupakan hala tuju pembangunan negara untuk tempoh 2026 hingga 2030, diluluskan dengan lebih suara bersetuju.

Ia selepas semua kementerian selesai menggulung selama empat hari bermula Isnin lepas, iaitu setelah usul itu dibahaskan selama lapan hari bermula 4 Ogos oleh 161 Ahli Parlimen.

Semasa sesi penggulungan, pelbagai isu telah dijawab oleh menteri berkaitan antaranya melibatkan kes kematian pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir dan isu projek penjenamaan Lembaga Tabung Haji (TH).

Semasa menggulung bagi Kementerian Dalam Negeri, Menteri berkenaan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kes Zara Qairina merupakan yang pertama didakwa di bawah Seksyen 507C(1) Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 yang memperuntukkan kesalahan bagi perbuatan membuli.

Saifuddin Nasution berkata pelaksanaan pindaan terhadap Seksyen 507B hingga 507G Kanun Keseksaan memperkukuh kuasa undang-undang ke atas perbuatan jenayah buli dan sejak pindaan dikuatkuasakan dan diwarta pada 11 Julai lepas, polis sudah membuka 11 kertas siasatan berkaitan buli.

Selain itu, beliau turut mengesahkan polis akan membuka semula kertas siasatan kes kematian pelajar tahfiz Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang dipercayai dibunuh di sebuah sekolah tahfiz di Kok Lanas, Kelantan pada Disember 2013.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar semasa menggulung pula menjelaskan syarikat yang dilantik bagi projek penjenamaan TH merupakan gabungan konsortium terdiri daripada empat syarikat tempatan berpandukan kepakaran dan kebolehan selari dengan keperluan kerja penjenamaan tersebut.

Beliau berkata konsortium itu dianggotai golongan profesional berbilang kaum dan pemilihan syarikat berkenaan telah mendapat kelulusan menerusi kaedah dan tadbir urus perolehan TH yang dikawal selia oleh Lembaga Pengarah.

Pada sesi sama, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menzahirkan kebimbangan terhadap kecenderungan warganet kini yang menerima ‘bulat-bulat’ maklumat dikongsikan di media sosial sekali gus mengingatkan mereka untuk membuat pengesahan terlebih dahulu agar tidak menjadi mangsa penipuan. 

Beliau berkata ini kerana kandungan yang disebarkan di media sosial tidak seperti laporan dihasilkan oleh media arus perdana yang mempunyai etika dan integriti kewartawanan yang tinggi.

Turut menggulung, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah yang memberi keyakinan bahawa penubuhan Suruhanjaya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan mewujudkan ekosistem TVET yang lebih sistematik, berfokus dan responsif terhadap keperluan industri.

Turut menarik perhatian minggu ini ialah penjelasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai peruntukan dan bantuan yang disediakan untuk masyarakat India disalurkan secara menyeluruh menerusi pelbagai kementerian dan tidak hanya tertumpu kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) semata-mata.

Anwar berkata terdapat program lain dengan peruntukan besar disediakan di bawah pelbagai kementerian yang memberi manfaat kepada kaum itu dalam bidang pendidikan, perumahan dan perniagaan, di samping peruntukan tahunan khusus RM100 juta kepada MITRA.

Persidangan minggu ini juga menyaksikan Ahli Parlimen Pendang daripada Perikatan Nasional (PN) Datuk Awang Hashim diarah keluar dewan selama 10 hari bermula Isnin, susulan tindakannya mencetuskan kekecohan serta dakwaan aksi mencabar seorang Ahli Parlimen untuk bergaduh pada Rabu lepas.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengeluarkan perintah itu berdasarkan Peraturan 44.2 dalam Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat selepas meneliti bukti rakaman video dan audio insiden berkenaan.

Beliau menyifatkan tindakan wakil rakyat pembangkang itu amat tidak baik dan kejadian itu berlaku ketika terdapat pelawat terdiri daripada pelajar sekolah yang menyaksikan insiden berkenaan dari Galeri Awam Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, empat rang undang-undang (RUU) dibentangkan untuk bacaan kali pertama iaitu RUU Pendaftaran Negara (Pindaan) 2025, RUU Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025, RUU Pembaharuan Semula Bandar 2025 dan RUU Perlesenan Tenaga Atom (Pindaan) 2025.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan