AM

Taiping Heritage Ride 2025 Sedia Himpun 2,000 Peserta

21/08/2025 03:35 PM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) --Taiping bakal dimeriahkan sekali lagi dengan penganjuran Taiping Heritage Ride 2025 atau Taiping Ride 2.0 pada 30 Nov ini, yang dijangka menghimpunkan sekurang-kurangnya 2,000 peserta dari dalam dan luar negara.

Ahli Parlimen Taiping Wong Kah Woh berkata program berbasikal yang akan bermula jam 7 pagi di Dataran Warisan Taiping itu menerima sambutan luar jangka apabila setakat ini lebih 1,700 pendaftaran diterima, melepasi sasaran awal iaitu 1,500 peserta.

“Sepatutnya tarikh penutupan pendaftaran adalah pada 24 Ogos, tetapi memandangkan masih banyak pertanyaan diterima, tempoh pendaftaran telah dilanjutkan selama sebulan lagi. Kami menyasarkan sekurang-kurangnya 2,000 peserta akan mengambil bahagian,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Taiping Heritage Ride 2025, di sini hari ini.

Wong yang juga Timbalan Menteri Pendidikan berkata, sebanyak 200 slot khas disediakan secara percuma kali ini untuk penyertaan pelajar sekolah di sekitar Taiping, berbanding 150 slot tahun lalu.

Tiga kategori ditawarkan iaitu 90 kilometer dan 60 kilometer (kompetitif), serta 20 kilometer (santai) yang merentasi laluan Sepetang, Simpang Empat dan Kamunting.

Wong berkata Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM) turut memudahkan akses acara itu dengan menyediakan Express Bicycle Coach yang membolehkan peserta membawa basikal mereka terus ke Taiping dengan lebih selesa.

Beliau berkata inisiatif ini sekali gus membuka peluang lebih ramai penggiat sukan berbasikal untuk menyertai program berprestij itu.

Wong turut merakamkan penghargaan kepada penaja utama termasuk Kademy Sdn Bhd, Alliance Bank, Quest International University, Farm Fresh, Perak Transit, Allianz Insurance, Menteri Besar Incorporate, serta agensi kerajaan seperti Majlis Perbandaran Taiping, Pejabat Daerah dan Tanah Larut, Matang dan Selama serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mengulas impak program itu kepada bandar Taiping, beliau berkata nama Heritage Ride membawa maksud warisan, sejajar dengan kedudukan Taiping sebagai bandar bersejarah yang kaya dengan nilai warisan termasuk muzium, penjara dan stesen kereta api pertama di negara ini.

Beliau berkata kejayaan penganjuran pelbagai acara sebelum ini termasuk International Youth Marching Festival yang menarik 20,000 pengunjung pada Jun, Taiping Half Marathon dengan 5,500 peserta dari 28 negara pada Julai, dan Festival Utara Taiping 2.0 dengan kehadiran 70,000 pengunjung pada Ogos, membuktikan Taiping kini destinasi utama bagi acara bertaraf antarabangsa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan