Oleh Zarul Effendi Razali
KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia rendah semasa mengakhiri dagangan sesi pagi pada Rabu susulan aktiviti pengambilan untung di kaunter telekomunikasi dan media serta pembinaan yang terpilih ekoran sentimen lemah dalam pasaran serantau, kata penganalisis.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut lima mata kepada 1,585.24 daripada 1,590.24 ketika ditutup semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka 2.21 mata lebih rendah kepada 1,588.03 dan bergerak antara 1,584.01 hingga 1,590.39 sepanjang sesi dagangan itu.
Pasaran secara keseluruhannya negatif, dengan 586 kaunter rugi mengatasi 268 kaunter untung, manakala 473 kaunter tidak berubah, 1,267 kaunter tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan mencecah 1.42 bilion unit bernilai RM1.03 bilion.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks penanda aras tempatan dijangka bergerak dalam julat antara 1,585 hingga 1,600 hari ini berikutan sentimen berhati-hati di peringkat global.
“Secara keseluruhan, Wall Street ditutup rendah dalam tempoh semalaman apabila kalangan pelabur terus menumpukan kepada Simposium Ekonomi Jackson Hole oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) yang akan berlangsung beberapa hari akan datang.
“Bagaimanapun, penjualan saham teknologi berlaku dengan ketara memandangkan banyak pihak berpendapat sektor itu perlu kembali mencari asas pergerakan selepas merekodkan peningkatan kukuh berterusan yang positif,” katanya kepada Bernama hari ini.
Dalam kalangan kaunter berwajaran tinggi, Maybank kekal pada RM9.80, IHH Healthcare menambah tiga sen kepada RM6.88, Tenaga Nasional susut empat sen kepada RM13.68 manakala Public Bank dan CIMB masing-masing turun satu sen kepada RM4.45 dan RM7.38.
Bagi kaunter paling aktif, Vantris Energy susut setengah sen kepada 3.5 sen, Zetrix AI turun dua sen kepada 3.5 sen, manakala Tanco dan TWL Holdings masing-masing mendatar pada 73 sen dan 2.5 sen.
Bagi pasaran yang lebih luas, Indeks FBM Emas susut 44.50 mata kepada 11,767.91; Indeks FBMT 100 berkurangan 45.22 mata kepada 11,552.43; Indeks FBM Emas Syariah menguncup 59.15 mata kepada 11,672.25.
Indeks FBM Mid 70 merosot 103.75 mata kepada 16,602.22, manakala Indeks FBM ACE kurang 33.79 mata kepada 4,675.90.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 27.57 mata kepada 18,157.93; Indeks Perladangan berkurangan 27.55 mata kepada 7,518.93; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menguncup 0.05 mata kepada 159.07 dan Indeks Tenaga susut 1.46 mata kepada 748.76.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial