KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau Datuk Dr Muhammad Akmal Salleh dan ADUN Gombak Setia Muhammad Hilman Idham akan didakwa dalam masa terdekat.
Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa berdasarkan keterangan dan bukti yang diperoleh, jabatan itu memutuskan untuk mengemukakan pertuduhan terhadap mereka di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.
"Jabatan ini telah meneliti kertas siasatan yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia berhubung kenyataan dibuat Dr Akmal di laman Facebook Akmal Saleh serta Muhammad Hilman menerusi platform TikTok alfah.channel.tv.
"Kenyataan-Kenyataan yang dibuat oleh individu-individu tersebut didapati telah menggugat ketenteraman awam atau merupakan penggunaan yang tidak wajar terhadap kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian," menurut kenyataan itu.
AGC memaklumkan pertuduhan juga akan dibuat terhadap Chandrasegaran Subramaniam dan Siti Hajar Aflah Sharuddin, masing-masing berkaitan kenyataan yang dimuat naik di akaun TikTok cikguchandra3 dan SHA_Abrienda.
"Siti Hajar juga akan dituduh di bawah Akta 574 manakala Chandrasegaran pula akan dituduh di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 (Akta 588).
"Semua pertuduhan akan dikemukakan di Mahkamah Majistret yang mempunyai bidang kuasa setempat dalam masa terdekat," katanya.
Sementara itu, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar ketika dihubungi memaklumkan Muhammad Akmal akan didakwa di Mahkamah Majistret di Pulau Pinang dalam masa terdekat.
“Pertuduhan ke atas YB Akmal bergantung kepada keberadaan beliau,” katanya.
Muhammad Akmal dalam catatan di laman Facebook memaklumkan beliau sedang menunaikan ibadah umrah di Makkah dan akan pulang ke tanah air bagi menghadapi pertuduhan pada Jumaat di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam.
Berdasarkan semakan sistem mahkamah, kes Muhammad Hilman akan disebut esok di hadapan Majistret Amira Abd Aziz di Mahkamah Majistret Jenayah di sini.
Chandrasegaran pula akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Shah Alam esok di hadapan Hakim Nor Hasniah Ab Razak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial