KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Malaysia akan terus menumpukan semua usaha promosi dan pengiklanan (A&P) bagi menarik pelancong bernilai tinggi, di samping mengekalkan strategi pelancongan berasaskan jumlah sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata dakwaan kononnya kementerian itu hanya memberi tumpuan kepada pelancong dari China adalah tidak tepat, sebaliknya usaha promosi turut menyasarkan pelbagai pasaran antarabangsa.
Beliau berkata perbandingan jumlah kemasukan pelancong asing bagi tempoh Januari hingga Julai 2024 dan 2025 melibatkan 10 negara menunjukan peningkatan ketara.
“Antaranya pelancong dari Singapura pada 2025 meningkat 25.5 peratus iaitu 10,288,256 berbanding 8,397,886 (2024); Indonesia meningkat 8.2 peratus dengan 2,197,288 (2025) daripada 2,031,111 (2024); China naik 35.6 peratus dengan 2,178,857 (2025) daripada 1,607,413 dan India naik 26.6 peratus melibatkan 807,664 (2025) berbanding 638,109 (2024).
“Kita bukan hanya fokus mempromosikan pelancongan negara kepada China sahaja, kita juga mesti menyasarkan untuk menarik pelancong high-end dan high spending tourists,” katanya ketika menggulung usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.
Tiong berkata semua A&P bagi TMM2026 telah dirancang dan dilaksanakan sehabis baik secara strategik di pelbagai pasaran utama walaupun menghadapi kekurangan peruntukan.
Sehubungan itu, beliau turut mengajak semua pihak termasuk Ahli Parlimen untuk menyokong usaha mempromosikan pelancongan negara dan tidak dipolitikkan atau mensensasikan usaha murni tersebut.
Pada masa sama, beliau berkata MOTAC melalui Islamic Tourism Centre (ITC) komited dalam membangunkan dan mempromosikan Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFTH) dengan antara segmen yang diketengahkan ialah pelancongan berasaskan al-Quran dengan tarikan utama Kompleks Nasyrul Quran di Putrajaya dan Yayasan Restu di Shah Alam.
“ITC juga telah melaksanakan misi galakan pelancongan ke empat negara utama iaitu China, Arab Saudi, Uzbekistan dan Vietnam sebagai usaha memperkasakan jumlah kedatangan pelancong Muslim ke Malaysia khususnya menjelang TMM2026,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri ketika menggulung usul berkenaan bagi kementeriannya berkata kerajaan menggalakkan institusi pengajian pondok yang majoritinya warga emas untuk mendaftar sebagai Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) bagi membolehkan mereka menerima bantuan dan sokongan sewajarnya daripada kerajaan.
"Kita telah menasihati pengendali sekolah pondok supaya mereka menubuhkan PAWE. Bila mereka berdaftar, mereka bertanggungjawab terhadap apa-apa juga aktiviti yang ingin dijalankan dan boleh memohon bantuan daripada kementerian.
“Jika tidak berdaftar dengan kita sebagai PAWE maka kita tidak dapat memberi apa-apa bantuan," katanya menjawab celahan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang).
Siti Zailah membangkitkan tentang perlunya pengiktirafan terhadap sistem pendidikan pondok sebagai sebahagian daripada Pelan Tindakan Warga Emas 2030, memandangkan kebanyakan warga emas memilih untuk tinggal dan menimba ilmu di institusi berkenaan.
Persidangan bersambung esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial